Pages

7 April 2008

Tindakan disiplin perlu saksama - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Sebarang tindakan disiplin terhadap anggota Umno yang didapati mensabotaj parti pada pilihan raya umum 8 Mac lalu perlu dilakukan mengikut peraturan sedia ada dengan saksama, berasaskan fakta dan bukannya fitnah, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, parti perlu mengumpul bukti daripada bahagian terbabit sebelum ia dibawa kepada Lembaga Disiplin Umno untuk siasatan bagi dibuktikan sama ada bersalah atau tidak.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Peraturan dan Perlembagaan Umno berkata, jika terbukti bersalah individu atau pihak terbabit perlu diberi peluang tunjuk sebab kenapa perkara itu berlaku sebelum keputusan muktamad diambil.
“Kalau ada bukti sabotaj, maka itu suatu yang terpaksa diambil tindakan kerana perbuatan mereka sebabkan kekalahan (Umno),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan syarikat Malaysia Productivity Corporation, dekat sini, hari ini.
Semalam, Presiden Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam kenyataannya mahu tindakan disiplin diambil terhadap anggota Umno yang mensabotaj Barisan Nasional (BN) menyebabkannya kalah di 14 kawasan Parlimen dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum itu diisytiharkan kawasan putih, dan kehilangan Kedah dan Perak pada pilihan raya umum lalu.
“Kita kena berhati-hati supaya tindakan yang kita akan ambil itu adil dan bijaksana,” katanya merujuk kepada bentuk tindakan disiplin yang boleh diambil termasuk memecat keahlian anggota yang disabit kesalahan.
Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, proses mengambil kenyataan terhadap pihak yang didakwa juga perlu dilakukan secara adil demi kepentingan parti.
“Lembaga disiplin kena main peranan supaya apa saja kenyataan yang dibuat perlu berdasarkan pertimbangan yang betul, saksama, bukan fitnah dan bukan tidak berasas. Mesti tersusun serta mengikut peraturan dan undang-undang,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan sabotaj itu, Muhyiddin berkata ia boleh disebabkan individu atau pelbagai perkara dan perlu ditafsir dengan teliti.
Ditanya apakah faktor berlakunya sabotaj, beliau berkata, perkara itu masih dikaji dan tidak menolak ia ada hubung kait dengan anggota parti yang tidak puas hati dengan pencalonan.
“Mungkin sebab fakta calon sesetengah kawasan tak terima calon yang diletakkan kepimpinan dan dengan sebab itu tak puas hati. Biasanya apabila kepimpinan dah pilih calon, terima sajalah, kerana yang penting bukan calon tapi parti,” katanya. - Bernama 07/04/08

Tiada ulasan:

Catat Ulasan