Pages

4 Ogos 2009

Ronnie mesti hormati Islam dan Perlembagaan

[Utusan - 03/08/09]
KUALA LUMPUR 3 Ogos - Tindakan Exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu menghalang penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjalankan tugas dengan membenarkan penjualan minuman keras kepada umat Islam di Selangor disifatkan sebagai biadab.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, Ronnie selaku antara 'orang besar' dalam kerajaan negeri seharusnya memahami, mendalami serta menghormati erti Perlembagaan negara sebelum mengambil sesuatu tindakan.
Menurutnya, dari segi undang-undang, minuman beralkohol yang mengandungi kurang daripada 18 peratus alkohol memang dibenarkan dijual kepada sesiapa sahaja tanpa memerlukan sebarang lesen dari pihak kastam.
"Namun, dalam Islam sedikit atau banyak jumlah alkohol, minuman itu tetap haram. Apabila ia dijual secara berleluasa kepada sesiapa sahaja, sudah tentu itu menimbulkan kemarahan.
"Itu perlu difahami. Tambahan, Perlembagaan negara meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Maka, sensitiviti umat Islam di negara ini perlu diletakkan di tangga teratas dalam sebarang tindakan diambil," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ni.
Beliau mengulas tindakan Ronnie yang mengarahkan MBSA memulangkan semula minuman keras dari sebuah kedai serbaneka di Jalan Liku, Seksyen 8, Shah Alam Khamis lalu setelah merampasnya dalam satu operasi yang dijalankan ke atas kedai itu sehari sebelumnya.
Rampasan oleh Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan MBSA itu dibuat selepas menerima aduan daripada penduduk setempat sejak beberapa bulan lalu yang tidak berpuas hati kerana mendakwa premis berkenaan menjual minuman keras kepada umat Islam.
Maamor menambah tindakan Ronnie juga sebenarnya adalah tidak beretika dengan mencampuradukkan kekuasaan politik dan urusan harian penjawat awam.
Tambahnya, ia sama sekali bertentangan dengan prinsip demokrasi yang menetapkan kepentingan politik dengan penguatkuasaan undang-undang adalah sama sekali berbeza dan harus dipisahkan.
"Perkara ini diharap mampu menyedarkan umat Islam dalam pakatan pembangkang ada di antara puak-puak di dalam DAP yang tidak menghormati Islam dan Perlembagaan," katanya.
Beliau dalam pada itu turut mencadangkan kerajaan menguatkuasakan larangan menjual dan meminum arak di tempat-tempat awam serta kepada umat Islam.
"Meminum arak bukan sahaja haram malah turut membawa banyak implikasi negatif. Kalau boleh, biarlah penjualan serta aktiviti meminum arak itu hanya dibenarkan di kelab-kelab dan tidak di tempat awam," katanya.
Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd. Tamyes Abdul Wahid ketika dihubungi meminta semua pihak bersabar menunggu keputusan mesyuarat exco pada Rabu ini.
"Saya diberitahu mesyuarat exco akan berjalan Rabu ini. Kita tunggulah keputusannya nanti," katanya.
#

Tiada ulasan:

Catat Ulasan