Pages

10 November 2009

Bai'ah peralat isteri, malukan wanita

Utusan - 10/11/09
KUALA LUMPUR 9 Nov. - Isu bai'ah talak tiga wakil rakyat Pas terus dikritik dengan yang terbaru Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO) pula menyifatkannya sebagai memperalat isteri.
Timbalan Presidennya, Faridah Khalid kesal kerana perkahwinan dan keluarga sebagai institusi suci telah dipertaruhkan untuk menguji kesetiaan dalam parti politik.
Katanya, konsep bai'ah yang memberi kata dua sama ada terus setia kepada parti atau bercerai talak tiga dengan isteri adalah sesuatu yang memalukan kaum wanita.
"Saya mengurut dada ketika membaca mengenainya, tiada perkataan lebih sesuai selain ia menghina wanita seolah-olah mereka tiada harga diri.
"Politik adalah ideologi yang boleh berubah-ubah. Dalam negara demokrasi, semua orang boleh memilih parti politik yang disukai kerana itu pemimpin Pas perlu belajar menerima perbezaan pendapat dan ideologi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai bai'ah oleh pemimpin Pas yang dilakukan sebelum menjadi calon pilihan raya bagi membuktikan kesetiaan mereka kepada parti berkenaan.
Faridah berkata, Pas seolah-olah tidak yakin dengan kesetiaan anggota dan pemimpinnya apabila mensyaratkan bai'ah tersebut kepada pemimpin mereka.
"Apakah dasar bai'ah itu berlandaskan ajaran Islam dan adakah ia memberi keadilan kepada wanita yang juga seorang ibu dan isteri?" soal beliau.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula terkejut dengan perkara itu dan turut mengutuk Pas yang mensyaratkan bai'ah tersebut.
Menurutnya, banyak cara untuk membuktikan kesetiaan kepada parti tetapi dengan mempertaruhkan institusi perkahwinan bererti Pas telah mencampuradukkan agama dan keluarga dengan politik.
"Selama ini Pas banyak mengeluarkan 'fatwa pelik'. Bai'ah ini bukan sahaja tidak boleh diterima akal malah menghina kaum wanita." ujar Rosnah.
/...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan