Pages

26 Ogos 2010

Semangat merdeka yang suram

UM(Rencana) - 26/8/10

APA yang boleh diperkatakan jika kita sendiri tidak berminat untuk mengingati hari kemerdekaan negara yang bakal menjelang tidak sampai seminggu dari sekarang?

Namun, inilah yang berlaku di bandar raya Ipoh apabila kebanyakan premis perniagaan seolah-olah menunjukkan sikap tersebut.

Walaupun Majlis Bandaraya Ipoh telah mengeluarkan peringatan kepada pemilik-pemilik premis perniagaan di ibu negeri Perak itu agar memasang Jalur Gemilang seawal sambutan bulan kemerdekaan, namun sehingga kini tiada banyak perubahan dapat dilihat.

Kecuali bangunan-bangunan kerajaan termasuk balai-balai polis yang berlumba-lumba menyahut seruan tersebut, manakala pihak lain terutama premis perniagaan hanya memandang sepi. Sebagai anak Malaysia, kekecewaan itu sewajarnya dikongsi bersama.

Tauke-tauke kaya yang memiliki bangunan besar dan kecil, seolah-olah merasakan mereka tiada hubungan dengan hari ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-53 pada tahun ini.

Secara tidak langsung, ia mungkin menggambarkan tahap sebenar kecintaan mereka terhadap negara yang selama ini menjadi tempat mereka untuk mengutip hasil negeri yang melimpah-ruah.

Malah, sikap tidak peduli dan tidak acuh terhadap arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti MBI juga sebenarnya turut mengundang persoalan.

Apabila semangat yang membawa kepada terciptanya hari bersejarah itu semakin tidak dikisahkan, apakah lagi yang diharapkan daripada mereka?

Ada pihak melihat perkembangan yang berlaku itu mempunyai kaitan dengan situasi politik yang tidak menentu sejak kebelakangan ini di Perak.

Tetapi benarkah hal politik semasa telah menjejaskan persediaan sambutan hari kemerdekaan?

Semoga apa yang dibangkitkan ini hanya merupakan satu tanggapan semata-mata. Hakikatnya, soal politik dan kecintaan terhadap negara adalah dua perkara berbeza.

Adalah satu kesilapan jika kedua-duanya disatukan. Ini kerana perbezaan ideologi politik tidak memungkinkan kita berbeza negara yang bernama Malaysia.

Dalam hubungan ini, pemilik-pemilik bangunan terbabit juga harus menyedari realiti mereka tidak akan mampu meraih kekayaan tanpa memastikan keharmonian dan kesejahteraan rakyat terjamin berterusan.

Justeru, sewajarnya mereka perlu terlebih dahulu menunjukkan sikap terpuji bagi memastikan keamanan yang diwarisi tetap berkekalan.

Kesimpulannya, jika semangat cintakan negara wujud dalam diri masing-masing, kita tidak perlu ‘dipaksa’ untuk memasang Jalur Gemilang tetapi akan melakukannya sendiri dengan hati yang lapang dan penuh ikhlas.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan