Pages

23 Ogos 2010

Usah percaya janji-janji manis pembangkang

UM (Rencana) - 23/8/10

SUNGGUHPUN Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 masih jauh iaitu kira-kira dua tahun dari sekarang, namun barisan parti yang menyertai pakatan pembangkang menganggapnya 'terlalu dekat' dan kerana itu, para pemimpin tertingginya merasakan tidak cukup masa untuk berkempen.

Mungkin sebab itulah, pakatan pembangkang mula menabur pelbagai janji manis sejak kebelakangan ini demi meraih simpati rakyat agar terus menyokong mereka.

Soalnya, janji yang ditabur itu bukan sahaja tidak masuk akal kerana segala janji itu adalah sesuatu yang mustahil untuk ditunaikan.

Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam akhbar ini semalam bahawa janji-janji yang ditabur itu membuktikan pakatan pembangkang gila kuasa kerana membuat janji yang tidak berpijak di bumi yang nyata.

Memanglah mudah untuk membuat janji, tetapi rakyat harus sedar dan berfikir panjang sama ada janji yang ditabur itu logik atau sebaliknya.

Justeru, nasihat Najib supaya rakyat tidak terpengaruh dengan janji-janji yang mulai bersepah di laman-laman web dan blog pakatan pembangkang perlu diberi perhatian serius.

Jangan pula sesal kemudian, seperti yang berlaku kepada rakyat di negeri-negeri yang dikuasai oleh pakatan pembangkang sekarang. Ini kerana sesal kemudian tiada gunanya. Terpaksa menunggu empat tahun lagi untuk menolak calon-calon pilihan raya daripada pakatan pembangkang yang lebih layak dipanggil penipu kerana mudahnya menabur janji tetapi tidak dapat dipenuhi.

Lihat sahaja apa yang berlaku di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Banyak isu-isu pembangunan di Kedah yang ditadbir oleh Pas tidak dipedulikan oleh kerajaan negeri kerana kekurangan dana. Rakyat peduli apa sama ada kerajaan negeri mempunyai wang atau tidak, yang penting rakyat mahu segala janji yang diberi ketika kempen PRU Ke-12 dulu ditunaikan. Apa kisahnya dengan slogan Kedah Sejahtera seperti yang dilaung-laungkan ketika berkempen dahulu. Yang nyata sekarang, rakyat Kedah hidup dalam keadaan tidak sejahtera lantaran masalah rakyat yang biasa-biasa sahaja seperti membina atau memperbaiki jalan raya, longkang tersumbat dan sampah gagal ditangani dengan cekap oleh kerajaan negeri.

Begitu juga janji-janji untuk berlaku adil kepada semua kaum di Pulau Pinang bukan sahaja tidak dapat dipenuhi, malah membangkitkan kemarahan rakyat apabila rakyat biasa daripada kaum Melayu dipinggirkan dengan begitu dahsyat sekali. Berapa banyak peniaga Melayu yang terpaksa gulung tikar gara-gara ketidakadilan kerajaan negeri itu?

Kerajaan Negeri Selangor juga tidak kurang hebatnya berusaha mengikis kepentingan bumiputera apabila ada cadangan mahu menghapuskan kuota bumiputera dalam pembelian hartanah di negeri itu.

Begitu banyak contoh jelas yang telah dipersembahkan oleh kerajaan negeri di bawah pentadbiran pakatan pembangkang, maka sudah tiba masanya rakyat yang sebelum ini kelabu mata dengan menyokong membuta tuli pakatan pembangkang menjadi celik dan sedar bahawa selama ini mereka ditipu hidup-hidup.

Secara logiknya, pakatan pembangkang tidak akan mampu menunaikan segala janji termasuk menetapkan gaji sebanyak RM4,000 sebulan kepada semua keluarga dan semua warga emas akan menikmati elaun sebanyak RM1,000 sebulan jika berjaya menawan Putrajaya pada PRU akan datang.

Ini kerana untuk berkempen pilihan raya pun, pakatan pembangkang terpaksa menagih sumbangan rakyat menerusi Tabung Impian Rakyat Malaysia (Tiram), ini kan pula mahu memberi elaun berjumlah beribu-ribu ringgit sebulan kepada rakyat.

Tentu sekali apa yang dijanjikan itu adalah sekadar angan-angan mat jenin kerana ia pasti tidak dapat dilaksanakan oleh pakatan pembangkang yang bukan sahaja miskin harta tetapi juga miskin budi pekerti sehingga sanggup menipu rakyat.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan