Pages

4 September 2010

Bakar Jalur Gemilang: Bekas komando bantah

UM - 4/9/10


Othman Ab. Majid menyerahkan memorandum dan bendera terbalik kepada Irzaniratni di Jalan Burmah, Pulau Tikus, Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 3 Sept. - Kecewa tindakan sekumpulan rakyat Indonesia membakar Jalur Gemilang baru-baru ini, beberapa bekas komando Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyerahkan memorandum membantah perbuatan itu kepada Konsulat Jeneral Indonesia di sini hari ini.

Mereka turut menyerahkan bendera Indonesia yang dibawa terbalik iaitu putih di bahagian atas manakala merah di bawah, simbolik warna putih lambang kesucian mampu mengawal merah yang membawa erti keberanian.

Memorandum dan bendera terbalik Indonesia itu diserahkan veteran komando TUDM, Othman Ab. Majid kepada Ketua Ekonomi, Penerangan dan Sosial konsulat itu, Irzaniratni kira-kira pukul 2.30 petang ini.

Beliau diiringi dua bekas komando TUDM, Sallehudin Othman dan Saad Din.

Othman merupakan bekas pelatih Angkatan Kedua 1971, Rejimen Para Komando Angkatan Darat (RPKAD) Indonesia. Beliau dilatih Tentera Nasional Indonesia (TNI) di Pengembangan Pendidikan dan Latihan Pusat Sandhi Yudha Lintas Udara Pusat Pendidikan, Batu Djadjar di Bandung, Indonesia.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, proses penyerahan memorandum dan bendera itu berjalan dalam suasana yang tenang dan lancar di hadapan konsulat republik itu di Jalan Burmah di sini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Othman berkata, beliau yang mewakili lebih 400 bekas pelatih terpanggil berbuat demikian kerana kecewa tindakan segelintir rakyat Indonesia membakar Jalur Gemilang sedangkan jutaan rakyat negara itu mengaut rezeki dan kemewahan dengan bebas di negara ini.

"Selama tujuh bulan berlatih di Indonesia sebelum ini, kami semua dididik oleh komandan waktu itu, Leftenan Kolonel S. Soekoso supaya sentiasa menjunjung dan menghormati bendera negara, jadi apakah rakyat Indonesia tidak pernah dididik seperti kami," ujarnya.

Justeru, Othman menggesa pihak terlibat memohon maaf secara terbuka kepada negara ini dan beliau serta rakan-rakan tidak teragak-agak mengadakan demonstrasi sehingga permohonan maaf itu dibuat kerana maruah negara telah dicemari golongan terbabit.

Saad pula menyeru rakyat Indonesia tidak terikut-ikut dengan rentak yang sengaja dimainkan pihak tertentu sehingga menggugat hubungan kedua-dua negara serumpun yang telah dijalin erat sejak sekian lama.

Sementara itu, Irzaniratni memberitahu, pihaknya akan menyampaikan bendera dan memorandum itu kepada kerajaan Indonesia dalam masa terdekat.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan