Pages

7 September 2010

Demonstrasi di Indonesia, sandiwara mereka

UM - 7/9/10

DULU, rakyat Malaysia banyak mengenal budaya dan memahami erti perjuangan melalui Keluarga Gerilya. Sehinggakan novel karya Pramoedya Ananta Toer ini dijadikan buku wajib pelajar tingkatan enam.

Patriotisme dan jati diri bangsa pula banyak terinspirasi daripada pendekar Betawi melalui siri filem laga Si Pitung. Dan sampai sekarang, sebahagian kita masih berkhayal dengan kesyahduan lagu-lagu Broery Marantika, Angin Malam, Widuri mahupun Biarlah Bulan Bicara.

Tanpa keterlaluan melalui karya-karya agung mereka, kita tidak mengenal Hamka mahupun Sultan Takdir Alishahbana sebagai orang Indonesia. Itulah betapa dekatnya kita dengan negara senusantara, sebangsa dan serumpun ini.

Bagaimana sekarang? Sebenarnya tidak banyak yang berubah. Diva Indonesia, Rossa, Kris Dayanti dan Ruth Sahayana masih mampu menyihir jutaan rakyat Malaysia. Filem mahupun sinetron negara seberang itu tetap membius kita untuk terus duduk di depan kaca televisyen. Bahkan kontroversi video porno Ariel Peterpan dengan Cut Tari dan Luna Maya turut 'menghangatkan' peminat di Malaysia.

Karya-karya penulis muda seperti Habiburrahman el Sharazy terus mendapat tempat. Malah filem Ayat-ayat Cinta adaptasi daripada novel Habiburrahman itu telah meruntun hati orang Malaysia.

Cuma satu perubahan besar di Indonesia, landskap politiknya. Reformasi selepas era Orde Baru Suharto telah membuka pintu demokrasi kepada rakyat republik itu seluas-luasnya.

Kemenangan demonstrasi jalanan menjatuhkan rejim Suharto telah memberikan inspirasi kepada banyak kelompok untuk melakukan hal yang sama dalam menyampaikan suara mereka.

Demonstrasi dianggap cermin rakyat semakin matang menggunakan hak demokrasi mereka. Hinggakan semua isu bangsa dan negara mahu diselesaikan melalui demonstrasi. Ia seolah-olah cara paling efektif untuk menegur kekuasaan.

Ia pula dipacu dengan liputan meluas media kepada setiap aksi tunjuk perasaan. Tidak kira yang beraksi itu hanya belasan orang. Media dan penunjuk perasaan dianggap elemen suci kebebasan bersuara. Demonstrasi adalah hak setiap orang. ia mesti dijunjung.

Sebut saja, sejak Suharto tumbang pada 1998, apa isu yang tidak dibawa ke jalanan. Hitung saja, berapa banyak gambar pemimpin dan bendera negara lain yang dibakar dan dipijak.

Tidak terkecuali, entah berapa kali gambar seorang Presiden Indonesia dibakar dan dipijak oleh penunjuk perasaan. Sehinggakan Susilo Bambang Yudhoyono pun pernah tersinggung kerana disamakan dengan kerbau. Kerbau itu yang dinamakan si Lebay, sempat diarak di tiga demonstrasi bagi melambangkan pemerintahan 100 hari Susilo pada Januari lalu.

Bayangkan seorang Presiden yang dipilih secara mutlak oleh rakyat tetapi setelah 100 hari disamakan pula dengan kerbau. Jika tidak kerana Susilo sendiri yang menyuarakan kekesalan atas tindakan keterlaluan penunjuk perasaan itu, mungkin sahaja si kerbau ini akan terus diarak.

Sepanjang empat tahun bertugas di Indonesia, terlalu banyak aksi demonstrasi yang sempat saya rakamkan. Penunjuk perasaan yang sebahagiannya diupah begitu aktif dan kreatif.

Mereka yang melihat demonstrasi dengan aksi yang keterlaluan di Indonesia, akan segera bertanya, apakah penunjuk perasaan kebal daripada undang-undang dan nilai moral? Setakat ini, jawapannya ialah ya.

Tatkala Indonesia bangga dengan demokrasinya, yang menurut ahli politiknya Malaysia 40 tahun ketinggalan, demonstrasi adalah alat ukurnya. Makin banyak demonstrasi makin bagus, kata mereka.

Benarkah demonstrasi saban hari itu simbol kepada kekecewaan rakyat? Benarkah kreativiti menyatakan pendapat yang diwarnai dengan aksi teater di jalanan itu tulen suara hati nurani rakyat?

Mungkin sahaja rakyat Indonesia sudah terbiasa dengan perbuatan memperolok-olok, mengejek-ejek dan mempersenda orang lain sehingga ia tidak dianggap sensitif. Sehinggakan tidak mengapa jika gambar pemimpin, bendera negara dipijak dan dibakar walaupun isu yang diperjuangkan remeh dan kecil. Tidak bermasalah jika najis dilempar ke rumah tetangga.

Juga tidak menjadi hal jika kumpulan penunjuk perasaan itu mengancam pula mahu mengusir rakyat negara lain.

Jika benar begitu keterbukaan demokrasi Indonesia, ia memang sukar difahami. Seharusnya sebuah negara demokrasi yang subur dengan demonstrasi juga mampu menegakkan undang-undangnya. Negara yang membenarkan demonstrasi juga seharusnya punya rakyat yang bijak menilai isu, bukan bersandarkan emosi.

Benar, tindakan membakar bendera, melempar najis dan membakar gambar pemimpin Malaysia itu hanya dilakukan segelintir orang. Tetapi apabila aksi di luar batas itu terus meluas seperti tidak terkawal, mengapa tiada penguatkuasaan undang-undang walaupun ia salah dari segi Kitab Undang-undang Hukum Pidana (KUHP)?

Sayang, perbuatan biadab yang berterusan itu terus dibiarkan. Sebahagian ahli politiknya pula, kebanyakan daripada parti pembangkang membela kumpulan penunjuk perasaan ini.

Sayang, parti-parti politik ini masih belum mampu untuk memberikan pendidikan politik terhadap apa yang seharusnya dilakukan dalam menghadapi isu sesama jiran tetangga. Semudah itu politik diperdagangkan dengan kepentingan yang menghalalkan segala cara seperti mereka tidak percaya diplomasi di meja rundingan.

Tetapi itulah demokrasi di Indonesia. Berita baiknya, kita di Malaysia tidak terikut-ikut bermain api dengan menterjemahkannya dalam bentuk mengusir pula rakyat Indonesia di negara ini. Banyak yang boleh dipelajari daripada demokrasi Indonesia, cuma janganlah pula dibawa budaya demonstrasi upahan ke Malaysia.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan