Pages

5 September 2010

'Kunci' bongkar rahsia Anwar

MM - 5/9/10

PULAU PINANG 4 Sept. - Rahsia utama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selama ini disimpan oleh Naib Presiden parti itu, Azmin Ali akan terbongkar tidak lama lagi.

Bekas Ketua Wanita PKR negeri, Aminah Abdullah berkata, perkara seperti itu tidak mampu bertahan kerana lama-kelamaan ia akan diketahui juga oleh umum.

"Dalam masa terdekat, 'kunci' sudah boleh membukanya. Ia akan terbongkar juga apabila tiba masa nanti.

"Pihak tertentu sudah tahu rahsia ini, begitu juga orang PKR, biarlah nanti umum pula yang tahu," katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan sumbangan Hari Raya Aidilfitri dan berbuka puasa anjuran Persatuan Kebajikan Insan Mulia (PKIM) di sini malam tadi.

Kelmarin, Aminah yang lebih dikenali sebagai Kak Min mendakwa Azmin mempunyai 'kunci' terhadap segala rahsia utama Anwar.

'Kunci' tersebut dikatakan menjadi senjata utama kepada Azmin untuk mendapatkan apa sahaja yang diingininya tanpa dapat dihalang oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Aminah yang juga Yang Dipertua PKIM bagaimanapun enggan mendedahkan rahsia berkenaan.

"Biarlah masa menentukannya," ujarnya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, PKIM menyediakan wang tunai serta makanan untuk disumbangkan kepada sepuluh orang fakir miskin dan ibu tunggal dari sekitar kawasan Parlimen Jelutong.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pinang, Dr. Thor Teong Gee.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan