Pages

7 September 2010

Luah rasa bangga rakyat Malaysia

UM - 7/9/10

TAHUN ini, merupakan kali pertama Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September menjadi cuti umum bagi mengingati sejarah penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan Hari Malaysia sebagai cuti umum pada tahun lalu berkata, menerusi Hari Malaysia, kerajaan mahu suka duka rakyat di Sabah dan Sarawak selepas mereka membuat keputusan untuk menyertai Malaysia pada 1963 turut dirasai penduduk di Semenanjung.

"Hari Merdeka pada 31 Ogos kekal diraikan bagi mengingati perjuangan mencapai kemerdekaan dengan pelbagai acara rasmi seperti perarakan untuk mengingati detik bersejarah itu.

"Hari Malaysia pula dirayakan dengan acara-acara bersifat mengerat perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat dalam bidang sukan, sosiobudaya, dan kesenian bagi menyemarakkan semangat 1Malaysia," katanya.

Menyedari betapa penting dan bermaknanya sambutan Hari Malaysia, Andante Resources, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menjalankan projek-projek komuniti dan motivasi merancang untuk menganjurkan program 'We R Malaysia' bagi meningkatkan rasa patriotik dan semangat perpaduan dalam masyarakat.

Program yang akan dilaksanakan pada 16 September ini berhasrat untuk menarik lebih 100,000 penyertaan warga Malaysia dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang di seluruh negara.

Pada 16 September nanti, mereka yang berminat untuk mengambil bahagian dalam program We R Malaysia boleh berkumpul di pelbagai tempat awam di semua negeri sama ada di stadium, auditorium atau balai raya.

Antara aktiviti yang akan dijalankan melalui program We R Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia ialah menyanyikan lagu Hari Malaysia yang disediakan oleh Andante Resources, mengadakan permainan interaktif, kuiz atau aktiviti kebudayaan.

Para peserta program We R Malaysia akan turut menulis perkataan We R Malaysia pada sehelai daun dan menukarnya dengan peserta lain sebagai simbolik menerima warganegara Malaysia yang lain.

Pengasas Andante Resources, Juliet Tan ketika ditemui di pejabatnya berkata, pihaknya merasakan sambutan Hari Malaysia tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik adalah penting kerana sejak akhir-akhir ini, terlalu banyak laporan dan kenyataan media yang berisiko menggugat perpaduan kaum.

''Ini ditambah pula dengan tindakan segelintir penduduk Indonesia yang mencabar kedaulatan negara dengan melakukan demonstrasi di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta baru-baru ini. Maka sambutan Hari Malaysia dan program We R Malaysia merupakan salah satu cara untuk menyatukan semua warga Malaysia bagi meningkatkan rasa cinta kepada negara," jelasnya.

Tambah Juliet, beliau sedih dengan tindakan segelintir golongan muda pada hari ini yang gemar mengkritik kerajaan dan hanya melihat negara dari sudut negatif.

''Malah terdapat golongan muda yang menyimpan cita-cita untuk berhijrah ke negara-negara maju kononnya untuk mencari kehidupan yang lebih baik dan selesa. Bukankah mereka sepatutnya menyumbang dan berkhidmat di negara sendiri supaya kehidupan di Malaysia menjadi bertambah baik pada masa akan datang?," katanya.

Mengulas mengenai lagu Hari Malaysia yang akan dinyanyikan oleh peserta program We R Malaysia pada 16 September nanti, Juliet menjelaskan, lagu berkenaan menggunakan pelbagai bahasa iaitu Hindi, Iban, Kadazandusun, bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

''Sementara aktiviti menulis perkataan We R Malaysia pada sehelai daun dan menukarnya dengan daun milik peserta lain umpama permulaan kepada fasa baru kerana daun adalah simbol kehidupan yang baru,"ujarnya.

Sementara itu, katanya, pihaknya memerlukan penaja lokasi di negeri-negeri, peserta untuk menjayakan program We R Malaysia dan sukarelawan.

Bendahari Andante Resources, Kon Onn Keong yang turut ditemui bersama Juliet melahirkan rasa terkilan dengan sikap segelintir pihak yang mengharapkan topi, kemudahan pengangkutan dan jamuan sebagai syarat penyertaan dalam program We R Malaysia.

''Kenapa mereka tidak boleh menyertai program ini dengan ikhlas demi negara tanpa mengharapkan sebarang balasan. Mereka patut mencontohi golongan pejuang kemerdekaan yang sanggup mengorbankan apa saja untuk negara.

"Para pejuang kemerdekaan lebih mengutamakan kepentingan negara berbanding dengan golongan pada hari ini yang mementingkan diri sendiri seperti kesenangan hidup dan sebagainya," jelas beliau.

Beliau menambah, untuk program We R Malaysia pada 16 September depan, setakat ini Andante Resources sudah berjaya menarik pendaftaran lebih 40,000 peserta dan kebanyakannya ialah pelajar sekolah dan kolej.

''Jika boleh, Andante Resources ingin mendapatkan lebih daripada 100,000 peserta untuk program We R Malaysia dan kami mengalu-alukan semua pihak untuk menjayakan program ini," katanya.

Mana-mana institusi atau organisasi yang berminat untuk melaksanakan program We R Malaysia sempena Hari Malaysia 16 September depan boleh menghubungi Andante Resources dengan menelefon 03-62594696.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan