Pages

7 September 2010

Program Juara Rakyat sempena Aidilfitri di Tanah Merah

UM - 7/9/10

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Dalam usaha memastikan Aidilfitri turut disambut oleh golongan tidak berkemampuan dan menjadi medan untuk mengeratkan silaturahim, UMNO Bahagian Tanah Merah akan melaksanakan beberapa program Juara Rakyat yang melibatkan peruntukan RM250,000.

Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abd. Aziz berkata, program tersebut akan bermula esok dengan penyerahan 1,500 hamper kepada penerima yang terdiri daripada golongan miskin, ibu tunggal dan anak yatim.

"Sumbangan berkenaan akan diagih serentak di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Tanah Merah ialah DUN Bukit Panau yang akan diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah dan di Sekolah Kebangsaan Gual Ipoh untuk penerima di DUN tersebut.

"Bagi DUN Kemahang, majlis penyerahan akan diadakan di Pejabat DUN Batu 7. Kita berharap sumbangan ini akan sedikit sebanyak membantu mereka merasai kemeriahan Aidilfitri," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, Ikmal Hisham berkata, pada hari raya pertama 4,000 'angpau' raya akan diagih-agihkan kepada kanak-kanak bawah 12 tahun di pekarangan empat buah masjid selepas solat Aidilfitri.

Menurutnya, masjid tersebut ialah Masjid Besar Tanah Merah, Masjid Al-Falah Manal, Masjid Pekan Batang Merbau dan Masjid Pekan Gual Ipoh.

"Kemuncak program juara rakyat yang kami anjurkan ialah Rumah Terbuka UMNO Tanah Merah yang akan diadakan pada hari raya keempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 1 mulai jam 10 pagi.

"Di majlis ini kita juga akan mengambil kesempatan melancarkan Persatuan Mahasiswa Tanah Merah atau singkatannya Permata.

"Ia terbuka untuk anak-anak penduduk Tanah Merah yang kini belajar di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) serta mereka yang tamat pengajian tetapi belum mendapat sebarang pekerjaan," katanya.

Menurut Ikhmal Hisham, Permata akan berperanan membantu pelajar dalam bentuk sumbangan kewangan, khidmat nasihat dan bimbingan kerja.

"Kita berharap semua pelajar institusi berkenaan yang merupakan anak Tanah Merah akan hadir memeriahkan majlis ini bersama-sama orang ramai," katanya.

Pada majlis rumah terbuka itu juga, kata beliau, sebanyak 112 cawangan UMNO di Tanah Merah akan menerima RM500 setiap cawangan bagi membolehkan mereka menganjurkan rumah terbuka di kawasan masing-masing.

"Selain itu, pada hari yang sama, UMNO Tanah Merah akan menyumbang dua ekor lembu untuk majlis hari raya persatuan alumni bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Mahmod Paduka Raja 1 yang akan diadakan di sekolah tersebut," katanya.

Ikhmal Hisham berkata, melalui pelaksanaan program juara rakyat ini ia bukan sahaja akan merapatkan hubungan antara pemimpin-pemimpin UMNO kawasan dengan rakyat tetapi juga mampu memaparkan imej parti berkenaan sebagai pembela utama rakyat tanpa mengira apa juga fahaman politik mereka.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan