Pages

16 Oktober 2010

Beri transformasi maksimum kepada rakyat: TPM

BH - 2010/10/16

TAN Sri Muhyiddin Yassin, berkata Bajet 2011 yang dibentangkan semalam sebagai sangat istimewa yang memberi harapan amat cerah ke arah transformasi negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Perdana Menteri berkata, ia juga adalah belanjawan rakyat yang akan memberi faedah maksimum melalui pelaksanaan program yang akan dilaksanakan.

“Dengan beberapa pengumuman Perdana Menteri yang membabitkan masyarakat bandar dan luar bandar serta pelbagai sektor utama, kita yakin rakyat akan memperoleh faedah maksimum. Ini tanda pimpinan BN prihatin terhadap kehendak semua peringkat masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, seperti dinyatakan Perdana Menteri, ia adalah bajet oleh rakyat hasil daripada maklum balas yang diterima dan Najib memberi respons yang memberangsangkan melalui strategi empat perkara mengandungi pelbagai sektor utama diberi perhatian.

“Kita yakin laluan menuju ke arah negara berpendapatan tinggi kini lebih jelas dan ini adalah asas kukuh yang dibangunkan kerajaan untuk melaksanakan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berterima kasih kerana pembangunan modal insan antara sektor yang diberi perhatian utama dengan Kementerian Pelajaran menerima peruntukan besar, meningkat 14.9 peratus kepada RM29.3 bilion berbanding RM25.5 bilion
sebelum ini.

Ditanya ada pihak menyifatkan ia bajet pilihan raya kecil DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi, Muhyiddin berkata: “Sebelum belanjawan diumumkan memang ada pilihan raya kecil akan dijalankan, tetapi yang penting semua golongan pelbagai peringkat terima faedah. Apa diumumkan Perdana Menteri bukan untuk tujuan selain daripada memajukan negara dan menyediakan kenikmatan hidup lebih selesa dan lebih baik,” katanya.

/hwa: bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan