Pages

4 Oktober 2010

PAS takut Ku Li dipilih calon DUN Galas

BH - 2010/10/04

GUA MUSANG: Pemimpin PAS diibaratkan `cacing kepanasan’ apabila mencampuri urusan Barisan Nasional (BN) dengan mempersoalkan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razeligh Hamzah tidak layak menjadi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Naib Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Datuk Nozula Mat Diah, berkata pemimpin PAS sepatutnya menumpu perhatian kepada pemilihan calon parti itu yang kini berhadapan masalah kerana ketandusan calon tempatan untuk bertanding.

“Pemimpin PAS seolah-olah tidak yakin dengan perjuangannya sendiri dan ingin mengajar UMNO serta BN supaya tidak melantik Ku Li (Tengku Razaleigh) menjadi calon DUN Galas pada pilihan raya kecil itu,” katanya ketika ditemui di Bandar Ciku, dekat sini, petang semalam.

Nozula yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, berkata niat pemimpin PAS yang membuat kenyataan tidak berasas itu hanya untuk mendapat simpati rakyat kawasan DUN Galas supaya menyokongnya.

Katanya, mereka terpaksa membuat pelbagai spekulasi dalam usaha melemah-
kan jentera UMNO, sedangkan hakikat sebenarnya mereka takut berdepan dengan calon BN berikutan kawasan itu lubuk kuat UMNO di Kelantan.

“Jika PAS rasa hendak kalah, lebih baik menarik diri lebih awal sebelum hari penamaan calon. Ku Li lebih bijak serta berpengalaman dalam menghadapi pilihan raya dan sebab itu diberi kepercayaan sebagai pengarah pilihan raya BN DUN Galas,” katanya.

Sementara itu, jentera BN bagi pilihan raya kecil DUN Galas mula digerakkan dengan membuka bilik gerakan serta memasang bendera, walaupun Suruhan Pilihan Raya (SPR) belum membuat sebarang pengumuman mengenai hari penamaan calon.

Timbalan Ketua UMNO cawangan Kampung Tiong Baru, Roslan Rashid, berkata bilik gerakan dibuka sejak empat hari lalu, selain program gotong-royong diadakan bagi membersihkan balai raya sebagai pusat mesyuarat dan pertemuan.

“Ahli UMNO cawangan ini beramai-ramai memasang bendera BN supaya nampak lebih bersemangat dalam menghadapi pilihan raya kecil itu,” katanya.

Roslan berkata, sebelum Ketua UMNO bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh pulang dari London, lebih baik jentera peringkat bawahan membuat persediaan awal untuk menghadapi pilihan raya kecil itu.

/hwa: bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan