Pages

15 Oktober 2010

PM ucap syabas kepada kontinjen negara

Bernama - 2010/10/15
NAJIB membuat persiapan terakhir Bajet 2011, di Kementerian Kewangan, Putrajaya, semalam. Turut hadir Ahmad Husni (kanan).

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menzahirkan penghargaan kepada kontinjen negara ke Sukan Komanwel New Delhi yang melepasi sasaran kutipan 10 pingat emas.

“Saya ingin mengucap setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada semua atlit negara yang mencapai kejayaan cemerlang dalam kejohanan Komanwel di Delhi.

“Pencapaian Malaysia ini yang terbaik dalam sejarah Sukan Komanwel dengan kontinjen kita meraih 12 pingat emas, " katanya kepada pemberita di Kementerian Kewangan selepas melakukan tinjauan akhir persiapan pembentangan Bajet 2011 yang akan beliau lakukan di Dewan Rakyat hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Najib berkata, pencapaian itu menunjukkan atlit negara mempunyai bakat dan boleh berdaya saing di persada antarabangsa dan sekali gus membanggakan perasaan rakyat Malaysia.

“Saya berharap kita melihat kejayaan ini sebagai satu usaha yang berterusan supaya kita dapat menokok tambah lagi atas kejayaan dan tidaklah selepas ini menurun pencapaian kita," katanya.

Perdana Menteri berharap pengalaman ini digunakan untuk mengetahui secara lebih mendalam bagaimana untuk menyediakan atlit negara untuk bersaing di peringkat tertinggi.

Sementara itu, Najib juga turut mengucapkan tahniah kepada Presiden Chile, Sebastian Pinera dan kerajaan negara itu atas kegigihan serta kejayaan usaha cekal mereka menyelamatkan 33 pelombong yang terperangkap di bawah runtuhan lombong di San Jose selama lebih dua bulan.

“ Usaha tanpa henti penyelamat, keberanian pelombong terbabit serta perpaduan rakyat Chile suatu inspirasi kepada kami semua,” katanya dalam kenyataan ringkas, semalam.

/hwa: bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan