Pages

14 Oktober 2010

Sultan Kelantan tarik balik anugerah 4 lagi individu

BH - 2010/10/14

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
krull@bharian.com.my

Ibrahim Ali, bekas SUK negeri antara dilucut gelaran Datuk

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V menarik balik anugerah dan darjah kebesaran daripada empat individu termasuk gelaran Datuk kepada Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali dan bekas Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud, mulai semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Aiseri Alias berkata, dua lagi individu adalah kerabat Istana Kelantan iaitu Tengku Mohamed Shafie Tengku Ibrahim, 65, yang juga Pegawai Keselamatan Istana Negeri dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor, 45.

Beliau berkata, Ibrahim ditarik balik Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan (DJMK) yang membawa gelaran Datuk Paduka.

"Lima darjah dan pingat kebesaran ditarik balik daripada Wan Hashim iaitu Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan (SPSK) Al-Ibrahimi I; Mahkota Kelantan (DPMK) Al-Muhammadi II dengan gelaran Datuk Paduka; Setia Mahkota Kelantan (PSK) Al-Ibrahimi III; Setia Mahkota Kelantan (BSK) Al-Ibrahimi IV dan Setia Mahkota Kelantan (ASK) Al-Ibrahimi V.

"Darjah kebesaran Kelantan yang ditarik balik daripada Tengku Mohamed Shafiei ialah Seri Mahkota Kelantan (SMK) dan Tengku Abu Bakar (Pingat Bakti - PB dan Jaksa Pendamai-JP).

"Surat penarikan akan dihantar kepada tiga pihak terbabit hari ini, manakala surat kepada Tengku Abu Bakar sudah dihantar pada 30 September lalu," katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Beliau berkata, tindakan menarik balik anugerah dan darjah kebesaran itu adalah hak Sultan Kelantan yang dilakukan mengikut hemah dan budi bicara baginda.

Pada 16 Jun lalu, 10 individu termasuk tujuh bergelar Datuk Paduka dan JP ditarik balik gelaran dan darjah kebesaran Kelantan oleh Sultan Muhammad Ke-V membabitkan ahli politik, Senator Ahmad Rusli Iberahim, bekas Pegawai Kewangan Negeri, Shkori Mohamed dan bekas Pegawai Jajahan Kota Bharu, Ismail Ghani.

Selain itu, ia juga membabitkan empat ahli perniagaan, bekas pegawai Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Tengku Ahmad Zahari Tengku Abdul Kadir dan seorang pegawai bank, Tengku Abu Bakar @ Tengku Azman Tengku Ismail.

Pada 30 September pula, Sultan Muhammad Ke-V, turut menarik gelaran Tengku Temenggong yang disandang adindanya Tengku Muhammad Fakhry, bersama darjah kebesaran lain iaitu Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K) serta Tauliah Pelantikan Ahli Yang Pertama ( Seri Paduka ) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia ( S.P.M.K).

Sementara itu, Ibrahim ketika dihubungi, berkata beliau hanya mengetahui penarikan balik pingatnya itu apabila dihubungi media dan tidak tahu punca tindakan itu.

"Saya dimaklumkan ada sidang media mengumumkan penarikan balik pingat DJMK yang sebelum ini dikurnia kepada saya oleh Tuanku Ismail Petra. Saya menerimanya dengan hati terbuka kerana taat setia saya terhadap Sultan Muhammad Ke-V tidak berbelah bagi.

"Malah saya tetap dengan pendirian mempertahankan institusi Raja Melayu kerana ia asas perlembagaan negara, selain sebahagian daripada budaya Melayu untuk menjunjung kedaulatan beraja," katanya.

/hwa: bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan