Pages

4 Oktober 2010

Tun Mahathir kian sihat

Bernama - 2010/10/04

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad memberi respons baik terhadap rawatan yang beliau terima di Epworth Hospital Melbourne Australia, selepas dimasukkan ke hospital itu kerana mengadu sakit dada kelmarin.

“Doktor gembira dengan perkembangan kesihatan Dr Mahathir dan beliau memberi respons baik kepada rawatan anti-biotik serta fisioterafi,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat bekas Perdana Menteri itu di sini semalam.

Pagi semalam, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir melawat bapanya di hospital itu dan menikmati sarapan bersama beliau dan ibunya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Kenyataan berkenaan berkata, doktor menasihati Dr Mahathir terus berehat dan memaklumkan bahawa bekas Perdana Menteri itu perlu diletakkan di bawah pengawasan di wad biasa hospital berkenaan selama beberapa hari lagi.

“Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah juga menyampaikan salam dan penghargaan mereka kepada semua yang mengutuskan ucap selamat dan mendoakan agar beliau lekas sembuh,” kata kenyataan itu.

Dr Mahathir yang ditemani Dr Siti Hasmah, tiba di sini pada Khamis dan dijadual berucap pada seminar pembangunan insan anjuran Kelab Umno Australia Melbourne di University of Melbourne, semalam.

Oleh kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan Dr Mahathir meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang singgah di Melbourne selepas menghadiri Persidangan Forbes Global CEO di Sydney, berucap bagi pihak beliau pada seminar itu. – BERNAMA

/hwa: bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan