Pages

8 November 2010

Kempen tak pernah tekan, ugut pengundi

BH - 2010/11/08

KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) tidak mengamalkan sebarang tekanan kepada pengundi termasuk Orang Asli sepanjang kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang berakhir Khamis lalu.

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Dali Hussin, berkata dakwaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, kononnya BN menekan pengundi adalah tidak berasas.

“Kempen yang dijalankan BN bersifat sederhana dan berhemah bagi memenangi hati pengundi dan akar umbi, berbanding PAS yang mengambil pendekatan lebih agresif.

“Kita minta Nik Aziz belajar menerima kekalahan dan membaiki kelemahan seperti dilakukan UMNO selama ini dan bukannya melemparkan tuduhan kepada orang lain.

“Dalam mana-mana pilihan raya umum atau kecil, paling penting tawaran khidmat kepada rakyat. Kita letak calon yang mampu memikul tanggungjawab sebagai pemimpin menyelesaikan masalah dibangkitkan rakyat dan keyakinan rakyat ini tidak boleh dipesongkan begitu mudah,” katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Kualiti Kokurikulum Kali ke-2, Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Pengkalan Chepa dekat sini semalam.

Dali mengulas kenyataan Nik Aziz yang menuduh BN akan menanggung dosa jika pengundi Galas menyokong kerana tekanan dan ugutan.

Dalam pilihan raya kecil Khamis lalu, calon BN, Ab Aziz Yusof menang dengan majoriti 1,190 apabila memperoleh 5,324 undi berbanding calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed yang memperoleh 4,134 undi.

Dali yang juga Ketua UMNO bahagian Pengkalan Chepa, berkata PAS tidak boleh bersikap `dua wajah’ dengan hanya memberi pujian kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila menang dan melemparkan pelbagai tuduhan setiap kali kalah.

/hwa: bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan