Pages

9 November 2010

Letak jawatan, tarik diri bertanding keputusan peribadi - Azmin

UM - 9/11/10

SHAH ALAM 8 Nov. - Keputusan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim meletakkan semua jawatannya dan menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR merupakan keputusan peribadi beliau.

Naib Presiden PKR, Azmin Ali yang mendakwa baru mengetahui keputusan Zaid itu hari ini berkata, ia merupakan satu tindakan yang harus dihormati semua pihak.

Katanya, semua pihak dalam PKR harus menerima pemilihan yang telah dibuat oleh ahli dalam menentukan pucuk kepimpinan parti itu.

"Jika benar Zaid meletakkan jawatan, itu adalah keputusan peribadinya. Mengenai pemilihan PKR, ia satu proses demokrasi dalam parti yang harus diterima oleh calon yang bertanding.

"Pemilihan akan berterusan dan saya yakin anggota parti dapat melihat ia sebagai satu proses demokrasi," katanya ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau mengulas hasrat Zaid yang mahu meletak semua jawatannya dalam PKR termasuk menarik diri daripada bertanding pemilihan parti itu menerusi laman blognya, www.zaiduntukrakyat.com.

Zaid mendakwa dirinya telah tersilap apabila menawarkan diri untuk bertanding kerana menganggap PKR sebagai sebuah parti yang membawa politik yang progresif, mengembangkan demokrasi dan meningkatkan ketelusan.

Beliau juga mendakwa, sepanjang pemilihan PKR, kepimpinan parti itu secara aktif membiarkan salah laku dan penipuan berleluasa dengan tujuan mencapai objektif tertentu.

Bagaimanapun, difahamkan Zaid sehingga kini masih belum mengemukakan sebarang surat rasmi mengenai keputusannya itu kepada pimpinan tertinggi parti pembangkang berkenaan.

Dalam pada itu, Azmin melahirkan rasa gembira ketika ditanya mengenai sokongan yang diterimanya dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

Beliau menyatakan, dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, sokongan ahli PKR yang mahukan beliau menduduki jawatan nombor dua parti itu begitu menggalakkan terutama dari Sabah.

Dalam masa sama, beliau menyalahkan pihak media sekiranya isu pengunduran Zaid tersebut menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat mahupun ahli parti itu.

Katanya, persepsi sedemikian boleh berlaku sekiranya media memutar-belitkan isu berkenaan menerusi laporannya khususnya melibatkan media arus perdana.

"Ia (persepsi negatif) bergantung jika Utusan Malaysia, Berita Harian dan TV3 memutar belitkan perkara ini.

"Tetapi jika Utusan dan Berita Harian mengambil sikap yang lebih bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat bahawa ini adalah satu proses demokrasi, saya kira tidak akan timbul persepsi negatif," ujarnya.

Ketika ini Azmin mendahului pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR apabila mendapat 6,525 undi, Zaid (3,905 undi) dan Mustaffa Kamil Ayub (1,215 undi).

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan