Pages

12 Januari 2011

Bazir sumber kewangan negara

Bernama - 12/1/11

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Ahli-ahli ekonomi tidak bersetuju dengan cadangan Pelan 100 Hari pembangkang, dengan menyatakan ia akan membawa kesan serius ke atas ekonomi Malaysia, membazirkan sumber-sumber kewangan berharga dan tidak dapat dielak akan menjerumuskan negara ke dalam krisis kewangan seperti Greek sekiranya dilaksanakan.

Ketua Ekonomi Kumpulan RAM Holdings Bhd., Dr. Yeah Kim Leng berkata, walaupun pelan itu kelihatan menumpukan kepada menambah baik tadbir urus dan pembaharuan institusi, langkah-langkah ekonomi yang dicadangkan itu adalah sedikit demi sedikit.

"Ia tidak mempunyai kejelasan, kekuatan dan ciri-ciri menyeluruh Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan," katanya di sini, hari ini.

Menurut pakatan pembangkang, antara cadangan dan jumlah yang boleh dijimatkan ialah subsidi bahan api bagi golongan berpendapatan rendah yang menelan kos RM4 bilion setiap tahun, subsidi petroleum cair pada kos setahun RM4 bilion dan penyusunan semula sistem tol di bawah PLUS Expressways Bhd., yang dijangka membabitkan kos RM23 bilion.

Juga dilaporkan bahawa RM19 bilion yang diperlukan bagi menjayakan pelan tersebut akan didapatkan daripada subsidi yang diberikan kepada penjana kuasa bebas oleh Petroliam Nasional Bhd.

Pelan pembaharuan itu diumumkan di konvensyen kebangsaan Pakatan di Pulau Pinang, Disember lepas.

Yeah berkata, cabaran bukan dalam menangani isu-isu terpilih tetapi melaksanakan keseluruhan pengurusan kewangan dan makroekonomi yang berhemat.

Beliau berkata, kerajaan yang efektif perlu membuat tolak ansur yang perlu antara kesusahan jangka pendek dan kesenangan jangka panjang manakala sebaliknya dalam sesetengah kes meraih keuntungan jangka pendek menanggung kesusahan jangka panjang.

"Jika sistem subsidi negara tidak disusun semula tetapi dinaikkan lagi ditambah dengan pengambilalihan lebih banyak aset yang diswastakan tanpa bimbang tentang kewangan kerajaan, perbelanjaan kerajaan yang tidak terkawal akan kelaknya membawa kepada tragedi Greek," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengkritik cadangan pelan itu semalam sebagai janji-janji kosong dan memberi amaran Malaysia akan menjadi seperti Greek dalam masa dua tahun, sekiranya pelan itu dilaksanakan.

Menjelas selanjutnya, Yeah berkata, cadangan seperti menghapuskan sistem tol secara asasnya memindahkan beban kewangan yang besar kepada Khazanah National Bhd. dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dijangka menggugat keupayaan KWSP untuk menjana dividen mencukupi kepada simpanan persaraan pencarumnya.

"Kesudahannya, masalah akan berakhir di tangan kerajaan dan selepas itu dilepaskan kepada pembayar cukai dalam bentuk cukai yang tinggi," katanya.

Bagi cadangan meningkatkan pembayaran royalti minyak, beliau berkata, ia memerlukan pengurangan yang sama dalam perbelanjaan persekutuan atau meningkatkan pendapatan daripada sumber-sumber lain, yang mana kerajaan perlu mengambil jalan keluar dengan membuat pinjaman yang tinggi.

"Pembayaran tunai sekali kepada kakitangan kerajaan boleh meningkatkan moral buat sementara waktu tetapi melibatkan pengorbanan sekiranya ia mengurangkan peruntukan bagi aktiviti lebih produktif lain seperti program penjagaan kesihatan, kemudahan luar bandar dan pembasmian kemiskinan," katanya semasa mengulas mengenai cadangan elaun mengajar RM500 setiap bulan kepada guru.

Datuk Salleh Majid, bekas presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (sekarang dikenali sebagai Bursa Malaysia) berkata, sesiapa sahaja boleh berjanji tetapi untuk melaksanakannya bukan mudah kerana harga barangan seperti harga minyak mentah dan komoditi selalunya di luar kawalan kerajaan dan sumber kewangannya terhad. - Bernama

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan