Pages

3 Februari 2011

Mari berganding bahu – PM

UM - 3/2/11

KUALA LUMPUR 2 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak masyarakat Cina untuk terus sama berganding bahu berusaha membina masa depan yang lebih baik untuk keluarga dan negara.

Menurut Perdana Menteri, di bumi Malaysia yang bertuah ini, semua kaum mempunyai peluang untuk mencipta kejayaan yang diimpikan.

Namun, jelas beliau, apa yang diperlukan adalah perancangan, kerja keras dan disiplin.

“Walaupun tidak boleh memastikan kejayaan setiap individu, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan ekosistem terbaik bagi membolehkan setiap potensi dioptimumkan.

“Syukur, pada 2011 hasil usaha gigih semua pihak, kerajaan dan rakyat, penjawat awam serta pihak swasta, negara terus berada di landasan yang betul bagi pencapaian wawasan kebangsaan untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi,’’ katanya.

Najib berkata demikian dalam perutusan sempena Tahun Baru Cina 2011 menerusi blognya, www.1malaysia.com.my.

Ujar beliau, momentum usaha gigih itu perlu dirancakkan lagi, namun belum sampai masanya untuk semua pihak mengisytiharkan kemenangan dan memasuki zon selesa.

“Kita perlu terus bekerja keras bagi mencipta kejayaan baru,’’ tegas Perdana Menteri.

Beliau seterusnya mengharapkan kedatangan Tahun Arnab dalam kalendar masyarakat Tionghua akan mendatangkan keamanan, kesihatan dan kemakmuran kepada semua.

“Akhir kata, saya berharap agar rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum akan meneruskan tradisi mengunjungi rumah terbuka rakan-rakan mereka daripada kaum Cina.

“Semoga tradisi rumah terbuka dan kunjung-mengunjung ini akan terus menjadi tali yang mengikat hati semua dalam semangat kekeluargaan 1Malaysia,’’ katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan