UM - 6/2/11
KOTA KINABALU 5 Feb. - Tidak sampai sebulan dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri (PPN) Parti Keadilan Rakyat Sabah, Pajudin Nordin hari ini mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO.
Pengumuman yang menyaksikan PKR Sabah semakin parah itu dibuat di hadapan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini.
Menurut Pajudin, keputusan itu dibuat selepas beliau hilang kepercayaan kepada kepimpinan PKR khususnya Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pajudin yang merupakan antara ahli terawal menyertai PKR di Sabah berkata, punca utamanya keluar parti itu disebabkan amat kecewa dengan kepimpinan Anwar yang gagal membela hak rakyat Sabah.
"Saya berasa kecewa dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah kerana mereka nampak memperbodohkan pemimpin-pemimpin PKR di negeri Sabah.
"Akibat daripada apa yang dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Presiden terhadap negeri Sabah ini maka saya menganggap PKR di Sabah sudah tidak relevan untuk kita jadikan sebagai satu parti masa hadapan atau parti yang akan menuju ke Putrajaya," katanya.
Pajuddin yang juga Naib Ketua Cabang Tuaran telah dipilih oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bagi mengisi jawatan Pengerusi Perhubungan Negeri (PPN) Sabah, menggantikan Ahmad Thamrin Jaini pada 10 Januari lalu.
Sebelum dilantik ke jawatan itu lulusan Tahfiz ini pernah memegang jawatan Exco Angkatan Muda PKR Pusat dan Ketua Angkatan Muda PKR negeri.
Menurut Pajuddin, beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya melalui faksimili dan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada kepimpinan PKR Pusat petang tadi.
Dalam pada itu beliau berkata, semua ahli PKR Sabah semakin menyedari helah Anwar yang hanya pandai menabur janji kosong untuk mengutamakan hak rakyat Sabah tetapi bertindak sebaliknya.
Sehubungan itu katanya, lebih ramai lagi ahli PKR Sabah termasuk beberapa pemimpin cabang akan keluar daripada parti itu dalam tempoh terdekat.
Difahamkan Wan Azizah akan datang ke Sabah esok bagi menyelesaikan kemelut PKR Sabah selepas beberapa cabang parti itu menolak pelantikan Pajudin baru-baru ini.
Sementara itu Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, keputusan pemimpin tinggi PKR Sabah itu menunjukkan parti tersebut sudah tidak relevan lagi.
"Saya tidak terkejut sebab saya tahu PKR ini kucar-kacir dan tiada hala tuju malah ramai yang keluar dari parti itu," katanya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan