MM - 20/2/11
KUALA LUMPUR 19 Feb. – Dakwaan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menyalahgunakan wang rakyat berjumlah RM80,500 bagi membiayai penginapan kira-kira 500 perwakilan pada kongres PKR tahun lalu disifatkan sebagai pelengkap kepada skandal penyelewengan parti tersebut di Selangor.
Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin (gambar) berkata, sebelum ini negeri itu telah pun dicemari dengan pelbagai kes salah laku seperti korupsi kuasa, penipuan dan kepincangan pemilihan PKR di samping tindakan keluar beramai-ramai ahli parti itu.
“GAPS juga mempunyai bukti yang jelas mengenai penyelewengan ini dan akan membuat laporan kepada pihak berkuasa dalam tempoh yang terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan Kerajaan PKR Selangor didakwa menyalahgunakan wang rakyat apabila membiayai penginapan kira-kira 500 perwakilan pada Kongres PKR tahun lalu yang kesemuanya berjumlah RM80,500.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar ketika mendedahkan perkara itu berkata, perbelanjaan itu dikeluarkan oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) bagi membayar tempahan 100 bilik di sebuah hotel di Petaling Jaya ketika kongres itu diadakan.
Jelas Hamidzun, pencurian dan rompakan harta rakyat di Selangor bukan lagi dilakukan secara tersorok seperti kes curi pasir di negeri itu dahulu, ia kini dilakukan secara terang-terangan tanpa rasa bersalah oleh kerajaan negeri.
Ujarnya, pembiayaan penginapan perwakilan pada Kongres PKR ketujuh tahun lepas merupakan satu jenayah penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah oleh PKR Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Tambahnya, tempahan dan pembayaran 100 bilik hotel di Petaling Jaya oleh MBI pada 25 hingga 29 November tahun lalu merupakan bukti jelas terhadap salah guna kuasa dan penyelewengan oleh Menteri Besar.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan