UM - 6/2/11
Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Tenang mengundang analisis yang pelbagai. Pakatan pembangkang khususnya Pas sewajarnya melakukan post mortem yang berani dan jujur untuk mengetahui punca sebenar kekalahan daripada asyik menyalahkan pihak lain.
Awang mendapat banyak maklum balas daripada akar umbi termasuk beberapa pemimpin Pas serta aktivis tegar parti itu. Selain isu setempat dan kontroversi status cuti sakit suami calon Pas, ada isu lebih besar yang menghantui umat Islam dan orang Melayu di negara ini.
Sama ada suka atau tidak, antara punca utama kekalahan calon Pas adalah orang Melayu semakin meragui dasar Pas terhadap perjuangan Islam. Bagi kebanyakan umat Islam, Pas pada era pasca Pilihan Raya Umum ke-12 semakin bercelaru dan tidak konsisten memperjuangkan Islam. Bermula daripada isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam sehinggalah kepada sikap Pas tunduk kepada DAP, menyebabkan ramai orang Islam, jauh hati kepada parti itu.
Pendirian Pas menolak permuafakatan dengan parti naungan umat Islam lain dalam isu-isu kepentingan Islam menjadi faktor berangkai.
Beberapa pemimpin Pas terutama Mursyidul Am, Nik Aziz Nik Mat, Khalid Samad dan Mahfuz Omar pula dilihat riak mempertahankan pendirian mereka dalam isu-isu tertentu meskipun boleh menggugat kepentingan Islam. Ini menyebabkan ramai yang meluat. Nik Aziz sekali lagi menjadi faktor kekalahan di Tenang selepas PRK Galas, Kelantan. Semasa kempen di Galas, tindakan beliau menyerahkan wang kepada sekumpulan pengundi Orang Asli, mengundang padah di saat-saat akhir. Di Tenang, kenyataan Nik Aziz beberapa hari menjelang pengundian bahawa golongan yang tidak mengundi Pas sebagai jahiliah, menjadi senjata makan tuan. Sememangnya Nik Aziz makin banyak melakukan kesilapan terutama pendiriannya melibatkan isu kepentingan agama dan bangsa. Lebih mengecewakan ramai melihat Nik Aziz seperti dicucuk hidung oleh DAP. Awang mencadangkan jika Pas mahu meningkatkan undi pada PRK Merlimau, mintalah Nik Aziz jangan bersuara apa-apa. Jika Tok Guru itu, buka mulut, ada sahaja bahaya menanti Pas. Atau beliau perlu melalui program pengurusan mulut demi menjaga kewibawaan Pas supaya tidak dilihat seperti parti picisan. Lalu Awang tertarik untuk memetik reaksi berterus terang Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi selepas Pas tewas di Galas, akhir tahun lalu. ‘‘Pembangkang perlu memberi perhatian terhadap hubungan dengan Allah, dengan anggota parti, masyarakat serta pendekatan yang diambil. Perlu juga bermuhasabah sejauh mana tanggungjawab dan amanah rakyat kita tunaikan.” Nampaknya parti itu tidak mengambil iktibar di Galas.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan