Pages

11 Mac 2011

Kunta Kinte original: Memoir Dr Mahathir hangat dan informatif

MINGGU ini Kunta Kinte nak cakap sikit mengenai memoir bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bertajuk A Doctor In The House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad.”

Kalau diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, bunyinya lebih kurang ‘Seorang Doktor Dalam Rumah – Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad.’

Dalam bahasa Inggeris, memoir ni adalah penceritaan atau pengisahan pengalaman peribadi oleh seseorang pengarang. Atau disebut juga autobiografi. Jadi dalam memoir ini Dr Mahathir tulis sendiri kisah-kisah dan pengalaman yang dia lalui.

Buat permulaan, hanya versi bahasa Inggeris diterbitkan. Ini boleh jadi kerana catatan asal penulis dan bahan-bahan rujukan beliau adalah dalam bahasa Inggeris.

Tapi Kunta Kinte difahamkan memoir ini sedang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu supaya lebih ramai rakyat jelata boleh baca kisah dan pengalaman bekas Perdana Menteri itu.

Sebenarnya Dr Mahathir ada menulis dulu sebelum dia jadi doktor dan lepas itu ahli politik. Masa di sekolah lagi dia sudah mula menulis. Masa di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar dia pernah jadi pengarang majalah sekolah.

Kemudian dia jadi penulis profesional bila dia mula dibayar bagi tulisan-tulisannya dalam surat khabar Straits Times dan Sunday Times di Singapura.
Tulisan dia yang pertama dalam surat khabar itu bertajuk ‘Malay Women Make Their Own Freedom’ (Wanita Melayu Mencipta Kebebasan Sendiri) dan disiarkan pada 20 Julai 1947. Masa itu dia belajar ilmu kedoktoran di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura.

Dr Mahathir pernah bagi tahu Kunta Kinte, daripada bayaran menulis rencana itu dia ada cukup duit untuk beli sebuah motosikal.

Selepas itu, banyak rencana dan buku yang dia tulis. Tak salah kalau Kunta Kinte kata, sama ada dia seorang pelajar, doktor atau Perdana Menteri, menulis adalah keberahian (passion) Dr Mahathir.

Boleh kata semua ucapan dan kenyataan yang dia buat, dia karang sendiri. Pasal itulah kalau kita dengar ucapan atau baca tulisan dia, kita boleh rasa semuanya sama saja. Lagipun, tak macam sesetengah ahli politik dan pembesar, Dr Mahathir tak suka menunjuk-nunjuk dengan bercakap bahasa yang berbelit-belit yang ramai orang tak faham.

Dalam memoirnya, Dr Mahathir, antara lain, berkata: “Di sebalik berpidato dengan bahasa berbunga-bunga, saya lebih suka memastikan yang orang ramai faham apa yang saya katakan – tak ada guna kita cuba menunjuk-nunjuk bagaimana cerdiknya kita sedangkan sebenarnya kita tidak cerdik.”

Dia kata, dia belajar bersyarah guna bahasa yang mudah ini masa dia berkempen dalam pilihan raya umum yang pertama yang dia sertai, iaitu pada 1964 bila dia jadi calon Parti Perikatan (sekarang Barisan Nasional) di kerusi Parlimen Kota Setar Selatan (sekarang Pendang), Kedah.

Selain rencana dan buku yang dia tulis, kita pun dah baca banyak buku mengenai Dr Mahathir daripada penulis-penulis lain. Ada penulis tempatan dan ramai juga penulis luar negara. Tapi sekarang kita berpeluang baca cerita Dr Mahathir daripada penanya sendiri.

Tentulah ada yang setuju dan tak setuju. Ada yang percaya dan tak percaya. Malah Kunta Kinte tak hairan kalau ada orang atau pihak yang cukup tak setuju sampai saman dia di mahkamah. Tapi Dr Mahathir tetap Dr Mahathir. Dia kata dia sedia diheret ke mahkamah kerana penceritaannya itu.

Misalnya, bila menulis mengenai Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri pertama kita, Dr Mahathir kata: “Saya mendapati pelik Tunku tidak dapat faham bagaimana ketegangan kaum boleh timbul. Apabila saya mengenali beliau ketika beliau masih muda semasa beliau berkhidmat dengan Perkhidmatan Awam Negeri Kedah, beliau sentiasa prihatin terhadap orang Melayu. Tetapi apabila beliau menjadi Perdana Menteri dan mengetuai parti pelbagai kaum Perikatan, pandangannya mendatar dan satu dimensi.”

Hujah macam ini tentulah tidak pelik kerana hubungan Dr Mahathir dengan Tunku Abdul Rahman Putra tegang sejak 1969 lagi bila dia menulis surat yang keras kepada Tunku mengenai pergaduhan kaum 13 Mei tahun itu.

Di pihak yang lain pula, Dr Mahathir amat akur dan hormat kepada Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang digelarnya mentor. Dr Mahathir, antara lain, menulis: “Saya banyak belajar daripada Tun Razak. Dia seorang pelaksana. Tunku menyerahkan hampir semua tanggungjawab pentadbiran kepada beliau dan beliau faham bahawa persediaan wajib dibuat dengan rapi sebelum sesuatu rancangan dapat dilaksanakan. Dia seorang pemimpin yang ikhlas yang mahu melakukan yang terbaik untuk negara dan orang Melayu.”

Mengenai Lee Kuan Yew yang sering beliau bangkang dalam Parlimen Malaysia pada 1964-65, Dr Mahathir menulis: “Lee Kuan Yew dan saya mempunyai perhubungan yang sivil, tetapi bukan persahabatan.”

Tambahnya lagi: “Sikapnya nampak seolah-olah beliau suka memandang rendah (kepada orang lain) dan gemar memberi kuliah kepada Dewan mengenai apa yang Dewan dan kerajaan perlu lakukan.”

Kalau boleh Kunta Kinte simpulkan, memoir Dr Mahathir ini akan cetus macam-macam reaksi ‘bahas yang hangat, penafian dan boleh jadi juga saman mahkamah fasal banyak ‘pesakit’ yang Dr Mahathir bedah dan dedah masih hidup dan mereka pun cergas lagi dalam politik dan bidang-bidang lain.

Tapi kalau bolehlah, Kunta Kinte cadang kita baca buku terbitan MPH ini dengan fikiran terbuka sebab pada pandangan Kunta Kinte, kalau kita tolak atau ketepikan sikit aspek politik, kita boleh dapat banyak maklumat dan ilmu daripadanya, Insya-Allah.

/hwa: bharian.com.my | bh - 11/3/11

Tiada ulasan:

Catat Ulasan