Pages

22 Mac 2011

Lebih segar: Wajah baru Utusan Malaysia dilancar

KUALA LUMPUR 19 Mac – Wajah baru Utusan Malaysia dilancarkan hari ini dengan pelbagai perubahan dan penambahbaikan bagi memenuhi selera para pembaca akhbar itu.

Antaranya adalah masthead baru Utusan Malaysia yang lebih segar dan perubahan tagline kepada Pemangkin Fikiran Rakyat.

Akhbar itu juga menambah empat muka surat kepada 36 halaman.

Bagi edisi Sabtu mulai hari ini, perubahan terbesar dilakukan dengan seksyen baru S2 sebanyak 18 muka diperkenalkan.

Ia menyajikan rencana bergambar gaya hidup, trend semasa, manusia dan peristiwa, global, mahkamah serta kolum-kolum khas.

Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad berkata, sisipan tabloid Wow! telah digantikan dengan seksyen baru dinamakan S3 dengan taglinenya ‘Sabtu Serba Santai’.

“S2 antaranya memuatkan halaman Laporan Khas sebagai rencana utama muka depan, manakala S3 menampilkan bahan santai terutama gaya hidup artis dan individu ternama dalam serta luar negara.

“Pelancaran S2 dan S3 esok diyakini akan mampu menambahkan daya tarikan kepada Utusan Malaysia. Pada masa yang sama ia adalah hadiah kepada pembaca setia akhbar kami,” katanya.

Menurut Othman, bagi edisi Isnin hingga Jumaat, perubahan terbesar Utusan Malaysia adalah pemindahan halaman Bisnes ke muka depan seksyen kedua, manakala Luar Negara mengisi muka belakang seksyen pertama.

“Pelbagai kolum baru diperkenalkan bagi terbitan Isnin hingga Jumaat bagi mempelbagaikan bahan bacaan kepada pembaca setia akhbar kami.

“Kita percaya, dengan reka letak yang lebih segar dan konsep akhbar yang lebih interaktif, Utusan Malaysia akan lebih memikat hati pembaca,” katanya di sini hari ini.

Menurut Othman, bagi edisi sulung S2, muka depannya bertajuk ‘Jejak Memori Bukit Jenalik’ yang mana wartawan S2 mengikuti kunjungan pertama Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd. Said ke Bukit Jenalik, Sauk di Perak selepas 10 tahun beliau muncul sebagai wira menumpaskan ketua kumpulan Al-Maunah di bukit itu pada 6 Julai 2000.

Juga dalam S2, satu muka khusus disediakan untuk halaman ‘Tabir Indonesia’ yang menyediakan berita-berita dan gambar menarik dari negara seberang itu.

Selain itu adalah halaman Famili memuatkan perkembangan, fesyen, soal jawab remaja dan keluarga serta isu-isu wanita dan kekeluargaan.

S2 juga memperkenalkan satu muka penuh untuk halaman Interaktif yang menyiarkan komen-komen pembaca dalam ‘Facebook Utusan Online’.

Satu lagi muka penuh memuatkan mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) dan foto sistem khidmat multimedia (MMS).

Seksyen pertama Utusan Malaysia edisi Sabtu memuatkan berita-berita semasa Dalam Negeri dan Luar Negara di samping Bisnes di muka belakangnya.

Antara kelainannya adalah pengenalan kolum separuh halaman, Lensa Hari Ini di muka dua. Banyak lagi kolum baru akan diperkenalkan dari Isnin hingga Jumaat.

S3 pula dengan tajuk ‘Fenomena Korea’ pada penghias muka depan tabloid itu, berkisar kepada kegilaan anak-anak muda khususnya perempuan terhadap artis Korea dan K-Pop iaitu lagu-lagu pop Korea.

Akhbar Mingguan Malaysia juga mengalami perubahan wajah di samping memperkenalkan sisipan tabloid baru dinamakan M2. Namun, seksyen Pancaindera masih dikekalkan.

/hwa: utusan.com..my | um - 19/3/11

Tiada ulasan:

Catat Ulasan