Pages

27 Mac 2011

Masyarakat perlu diberi keyakinan Malaysia negara selamat

KUALA LUMPUR 26 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu rakyat di negara ini diberi keyakinan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang selamat.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak khususnya Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bersama-sama membantu kerajaan menyebarkan maklumat tentang kedudukan tersebut.

Beliau berkata, rakyat perlu diberitahu bahawa sejak kerajaan melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) indeks jenayah di negara ini telah menyaksikan penurunan dari semasa ke semasa.

''Sebagai contoh berdasarkan rekod Disember 2010 indeks jenayah telah turun sebanyak 15 peratus manakala jenayah jalanan pula turun sebanyak 35 peratus.

''Malah indeks jenayah bagi Januari dan Februari pada tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak 11 peratus berbanding tempoh sama 2010 sementara bagi jenayah jalan penurunannya adalah sebanyak sembilan peratus,'' katanya.

Beliau yang juga Pengerusi MCPF berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung yayasan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara merangkap Timbalan Pengerusi MCPF, Tan Sri Ismail Omar serta tiga Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye, Datuk Hendry Chin dan Datuk Kamaruddin Md. Ali.

Selepas berucap beliau kemudian terus mempengerusikan mesyuarat agung hari ini.

Muhyiddin berkata, penurunan indeks jenayah itu jelas menggambarkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) sangat peka kepada soal keselamatan masyarakat serta negara.

Sungguhpun begitu, beliau di dalam ucapannya turut menyentuh mengenai peranan masyarakat bersama-sama menggembleng tenaga mengatasi masalah jenayah antaranya pembuangan bayi dan kelahiran anak di luar nikah serta jenayah remaja.

''Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara dalam tempoh lapan tahun setengah (2000-2008) jumlah sijil kelahiran tanpa bapa mencapai 257,000 kes.

''Daripada statistik ini ia mencatatkan 2,500 kes sebulan atau 84 kes sehari. Berdasarkan statistik polis pula daripada tahun 2001 sehingga 2010 jumlah kes buang bayi yang dicatat adalah sebanyak 857 kes,'' katanya.

Berhubung kes melibatkan jenayah remaja iaitu mereka yang berusia antara tujuh hingga 18 tahun, beliau berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 7,450 kes membabitkan golongan itu dicatatkan

Sementara itu ketika mempengerusikan mesyuarat tersebut beliau berkata, Kementerian Pelajaran tidak pernah berkompromi dalam isu buli dan gangsterisme di sekolah walaupun peratusannya kecil jika dibanding dengan jumlah pelajar secara keseluruhan.

''Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud untuk memberi perhatian tentang perkara ini walaupun jumlah mereka yang terlibat dengan isu ini terlalu kecil,'' katanya lagi.

/hwa: utusan.com.my | um - 27/3/11

Tiada ulasan:

Catat Ulasan