Pages

14 Mac 2011

Pembangkang jangan ganggu usaha majukan negara

KUALA LUMPUR 13 Mac - Pihak pembangkang diminta tidak mengganggu usaha kerajaan dalam memajukan negara terutamanya yang melibatkan pembangunan kemudahan asas seperti air dan elektrik.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, sebarang campur tangan dalam perkara itu akan merencatkan kelangsungan pembangunan bekalan serta penyelidikan terhadapnya.

"Sebarang kajian berkenaan air dan elektrik dilakukan dengan teliti serta mengambil kira semua faktor. Justeru, isu ini tidak perlu diungkit dan dipertikaikan lagi di Parlimen," katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam supaya isu berkaitan air ditangani dengan bijak bagi memastikan keperluan untuk generasi akan datang mencukupi.

Jelas Perdana Menteri, walaupun negara mempunyai jumlah taburan hujan yang banyak iaitu purata 3,000 mililiter setahun, masih terdapat masalah bekalan air yang tidak mencukupi di beberapa tempat.

Sementara itu, Fah Kui turut menyarankan orang ramai supaya berjimat cermat menggunakan air dalam kehidupan seharian mereka.

Katanya, kajian oleh kementeriannya bersama dengan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mendapati negara ini merupakan pengguna tertinggi air berbanding negara-negara jiran.

Katanya, secara purata, rakyat negara ini menggunakan 226 liter air sehari berbanding purata penggunaan air yang disyorkan iaitu 165 liter.

Kata beliau, rakyat di Thailand hanya menggunakan purata 90 liter air sehari, manakala di Singapura 155 liter sehari.

"Sekiranya penduduk Malaysia mematuhi kadar penggunaan air yang disyorkan itu, pengguna boleh menjimat sehingga 28.2 meter padu setiap isi rumah yang membawa kepada penjimatan RM18.33 sebulan.

"Justeru, orang ramai perlu mengambil iktibar terhadap fakta ini supaya kesinambungan bekalan air terjamin untuk generasi akan datang," katanya.

/hwa: utusan.com.my | um - 14/3/11

Tiada ulasan:

Catat Ulasan