Pages

23 Mac 2011

Projek Kampung WiFi dipercepat


Rais Yatim (bersongkok) ketika hadir pada majlis pelancaran Kampung WiFi Sungai Rotan di Chennah, Jelebu, semalam.

JELEBU 22 Mac - Projek melengkapkan kawasan luar bandar dengan jalur lebar akan dipercepatkan bagi membolehkan rakyat di kawasan berkenaan mempunyai akses kepada teknologi maklumat sama seperti penduduk bandar.

Projek yang dikenali sebagai Kampung WiFi itu melibatkan lebih 3,000 kampung di seluruh negara.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pada masa ini, kira-kira 180 kampung sudah menikmati kemudahan itu melalui projek yang mula dilaksanakan sejak empat bulan lalu.

Beliau berkata, kementeriannya menyasarkan selama 18 bulan lagi sebelum projek itu lengkap sepenuhnya.

"Projek ini dipercepatkan memandangkan ia begitu menarik minat generasi muda yang tinggal di luar bandar berdasarkan kepada maklum balas yang diterima daripada projek yang sudah dilaksanakan setakat ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kampung WiFi Sungai Rotan di Chennah, dekat sini hari ini.

Menurutnya, beliau bersama pegawai kementerian dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan ke Sarawak minggu depan bagi meninjau kerja-kerja memasang prasarana jalur lebar di negeri itu terutamanya di kawasan pedalaman.

Lanjutan itu juga, beliau memberitahu, caj penggunaan Internet di luar bandar akan disemak semula kerana pihaknya berpendapat ia sepatutnya lebih murah berbanding pengguna di bandar.

Rais pada masa sama turut menyelar kandungan Buku Jingga yang dikeluarkan oleh pembangkang mengenai pemberian jalur lebar secara percuma sekiranya pihak itu menjadi kerajaan.

Menurutnya, itu adalah janji kosong, angan-angan Mat Jenin dan dibuat dengan tidak berpijak di bumi nyata.

"Sejak dua tahun lalu, kerajaan Barisan Nasional telah melaksanakan projek jalur lebar melalui projek Kampung WiFi, membina rangkaian gentian optik, membina jalur lebar di daerah-daerah dan memasang beratus-ratus menara pemancar yang mana semua ini dibuat melalui peruntukan kerajaan dan diberi secara percuma kepada rakyat.

"Cuma syarikat telekomunikasi yang mengenakan caj perkhidmatan kerana mereka adalah entiti perniagaan," ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus menyegerakan projek jalur lebar untuk rakyat meskipun terpaksa melakukannya tanpa bantuan syarikat telekomunikasi.

/hwa: utusan.com.my | um - 22/3/11

Tiada ulasan:

Catat Ulasan