Pages

7 Mac 2011

Pusat Khidmat Bergerak BN bantu atasi masalah rakyat

IPOH 6 Mac - Barisan Nasional (BN) mewujudkan Pusat Khidmat Bergerak di Parlimen Tambun dalam usaha membantu rakyat di kawasan itu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, usaha itu akan membolehkan rakyat mengemukakan pelbagai masalah yang mereka hadapi untuk dibantu.

Selain itu, katanya, penubuhan pusat itu juga membolehkan masyarakat setempat menjalinkan hubungan silaturahim sesama mereka.

"Ramai yang hidup dalam penderitaan dan kesusahan terutama masyarakat di luar negara dan kita di negara ini bernasib baik kerana kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pusat Khidmat Bergerak BN Parlimen Tambun di Dewan Serbaguna Gugusan Manjoi.

Sebanyak 13 agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menyertai program tersebut.

Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, kawasan Manjoi kini mengalami perubahan yang pesat dengan wujudnya pelbagai kemudahan seperti sekolah agama rakyat, perpustakaan desa, pejabat tanah, gelanggang rakyat, pasar baru dan surau.

Terdahulu, Ahmad Husni menyampaikan dermasiswa Yayasan Perak bernilai RM29,700 kepada 35 pelajar yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Setiap pelajar menerima antara RM300 dan RM1,000.

/hwa: utusan.com.my | um - 7/3/11

Tiada ulasan:

Catat Ulasan