Pages

27 Mac 2011

Skandal dan pemimpin


BEKAS Timbalan Perdana Menteri Poland, Andrzej Zbigniew Lepper kini terpaksa merengkok di dalam penjara akibat skandal seks dan penyelewengan.


DUNIA politik moden sesungguhnya tidak pernah sunyi dari pelbagai skandal. Pada peringkat awal mereka seboleh mungkin akan menafikan penglibatan dalam skandal berkenaan tetapi akhirnya terpaksa mengakuinya walaupun ia terlalu pahit untuk ditelan.

Kita pernah dikejutkan dengan skandal membabitkan pemimpin negara kuasa besar dunia, Amerika Syarikat (AS) Bill Clinton yang terlibat dalam skandal seks dengan pelatih White House, Monica Lewinsky.

Bill Clinton yang berkhidmat dari 1993 hingga 2001 merupakan Presiden AS yang ke-42 dan mengakui secara terus-terang bahawa perbuatan curang dengan Lewinsky sebagai satu kesilapan moral yang teruk.

Skandal ini mula didedahkan media pada Januari 1998 dan semenjak dari itu imej dan kewibawaan beliau sebagai pemimpin telah terjejas.

Walaupun skandal ini masih lagi menjadi bahan gurauan dan lelucon di AS dan dunia, hakikatnya isteri beliau kini merupakan orang ketiga penting di AS dengan menjawat jawatan Setiausaha Negara.

Client - 9

Contoh lain ialah membabitkan Gabenor New York dari Parti Demokrat, Eliot Spitzer yang akhirnya menguburkan kerjaya politiknya berikutan pendedahan akhbar bahawa beliau terlibat dalam skandal seks dengan seorang pelacur kelas atasan di sebuah hotel mewah.

Kejadian dengan pelacur tersebut yang hanya dikenali sebagai Client -9 berlaku di bilik 871, Hotel Mayflower di Washington pada 13 Februari 2008.

Kegiatan Spitzer ini sememangnya sesuatu yang menggemparkan kerana ia melibatkan perkhidmatan pelacuran dan berdasarkan siasatan Biro Siasatan Pusat (FBI), beliau telah melanggan pelacur sebanyak tujuh atau lapan kali dan membelanjakan AS$15,000 (RM45,000) untuk tujuan itu.

Seorang lagi ahli politik AS yang terlibat dalam skandal seks ialah Senator Republikan, Larry Edwin Craig yang ditangkap selepas melakukan perbuatan lucah berunsur homoseksual di dalam bilik air lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Minneapolis-St. Paul pada tahun 2007.

Konservatif

Segala-galanya bermula apabila akhbar Capitol Hill mendedahkan berita penahanan Craig yang juga Senator Idaho kerana melakukan perbuatan tidak senonoh itu pada 27 Ogos 2007.

Akibat skandal itu, Craig telah ditolak dari menganggotai politik kerana bimbang ia akan mencemarkan imej Parti Republikan yang terkenal dengan imej konservatif.

Di China, skandal seks menghangatkan suasana politik negara itu apabila Menteri Kewangannya, Jin Renqing, 63, mengumumkan peletakan jawatan pada 30 Ogos 2007.

Skandal Renqing yang memegang jawatan Menteri Kewangan sejak tahun 2003 bermula setelah beliau memperkenalkan seorang perempuan kepada Pengerusi syarikat minyak gergasi China Petroleum and Chemical Corp (Sinopec), Chen Tonghai.

Skandal sama berlaku kepada seorang pemimpin Parti pembangkang Turki, Republican People's Party yang terpaksa meletakkan jawatan kerana rakaman video seks.

Deniz Baykal yang juga bekas Menteri Luar meletakkan jawatan kerana rakaman video seks bersama Setiausaha Parlimennya Nesrin Baytok pada tahun lepas.

Agama

Dalam pada itu, Indonesia dikejutkan dengan skandal seks anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Yahya Zaini dengan seorang penyanyi dangdut pada 2007.

Yahya yang merupakan bekas ketua jabatan hal ehwal agama parti Golkar mengambil tindakan meletakkan jawatan sebagai anggota dewan berkenaan ekoran skandal tersebut.

Dia menjadi bahan berita sensasi selepas satu rakaman video selama seminit yang menunjukkan beliau dalam keadaan berbogel bersama-sama penyanyi dangdut, Maria Eva yang kemudiannya tersebar secara meluas di Internet.

Nasib sama juga berlaku kepada N.D. Tiwari seorang pemimpin kanan Parti Kongres di India pada hujung tahun 2009. Beliau yang juga Gabenor Andhra Pradesh di dapati terlibat dalam skandal seks bersama tiga orang perempuan muda sekaligus.

Kerjaya pemimpin berusia 86 tahun itu musnah sama sekali apabila sebuah televisyen tempatan menyiarkan rakaman video selama tiga setengah minit mengenai hubungan terlarang itu.

Tiwari kemudiannya mengumumkan peletakan semua jawatan yang dipegang namun menyatakan puncanya adalah kerana masalah kesihatan.

Bawah umur

Namun skandal paling menakutkan membabitkan seorang pemimpin Yahudi yang ditangkap pihak berkuasa Turki kerana terlibat dalam skandal seks bersama gadis bawah umur.

Mengejutkan Alexander Mashkevitch, 57, ditangkap bersama beberapa pemimpin dari negara bekas komunis di Asia Tengah, ahli perniagaan Yahudi serta Eropah yang tidak didedahkan.

Mashkevitch yang berasal dari Kazakhstan merupakan pemimpin Kongres Euro-Asian Jewish serta pemimpin kanan Persatuan Yahudi Dunia. Kejadian tersebut yang berlaku pada September tahun lepas dilaporkan berlaku di atas kapal layar milik pengasas Turki moden, Kamal Ataturk.

Lelaki berusia 57 tahun ini merupakan antara orang Yahudi terkaya dengan anggaran harga bernilai AS$3.3 bilion (RM10.1 bilion).

Itulah lumrah menjadi pemimpin yang dikenali ramai kerana tidak bermakna mereka lebih baik daripada kita semua. Ini kerana mereka juga manusia biasa yang tidak pernah lari dari melakukan kesilapan.

Mungkin ada yang tidak berupaya menahan gejolak nafsu untuk melakukan sesuatu tindakan yang mungkin dilihat biasa di kalangan orang biasa.

Tetapi kerana mereka ini pemimpin atau orang yang dikenali ramai maka ia dilihat sebagai sesuatu yang tidak bermoral.

Akibat daripada kedudukan dan pangkat yang dimiliki pastinya segala sifat ini tidak mahu didedahkan.

Namun akhirnya kebenaran akan tersebar jua walaupun mungkin pada awalnya dinafikan. Yang pasti ia akhirnya memakan diri dan ketika itu adalah terlewat untuk menoleh ke belakang.

/hwa: utusan.com.my | um - 27/3/11

Tiada ulasan:

Catat Ulasan