KUALA LUMPUR 11 Mac – Rakyat Malaysia semakin sedar bahawa wujud pihak tertentu yang mahu mencemar imej dan kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) demi agenda politik masing-masing.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, kematian saksi utama dalam kes penyiasatan rasuah beberapa pemimpin DAP baru-baru ini merupakan bukti nyata tentang wujudnya usaha politik untuk menghancurkan imej SPRM.
“Saya tahu ada usaha segelintir pihak untuk menghakis kepercayaan dan kredibiliti institusi yang menjadi tunjang kerajaan.
“Saya pasti rakyat mengikuti perkembangan siasatan suruhanjaya bagi menyiasat kes kematian Teoh Beng Hock dan mula sedar sandiwara politik yang menyelubungi isu tersebut,” katanya menerusi blog http://zahrainmp.blospot.com.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia Ahad lalu yang menjawab pelbagai perkara berhubung SPRM dan isu memerangi rasuah.
Zahrain seterusnya mengucapkan tahniah kepada Abu Kassim kerana mengharumkan nama SPRM apabila diiktiraf sebagai individu keempat paling berpengaruh di dunia dari segi etika perniagaan dan pencapaian itu adalah sesuatu yang menjadi kebanggaan negara serta rakyat.
“Umum tahu peperangan mencegah dan menghapuskan rasuah bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia juga bukan mustahil. Walaupun tahap jenayah rasuah di negara kita secara relatifnya masih rendah, namun budaya jijik ini berpotensi menjadi ancaman utama kepada masyarakat,” katanya.
Jelas beliau, rasuah bukan amalan masyarakat negara ini dan pengiktirafan dunia kepada Abu Kassim adalah bukti bahawa usaha kerajaan mencegah dan menghapuskan rasuah mendapat perhatian dunia.
/hwa: utusan.com.my | um - 12/3/11
Tiada ulasan:
Catat Ulasan