Pages

15 April 2012

Bangkitkan kelakuan biadab di Parlimen

MOHD. Puad Zarkashi (dua dari kanan) menyampaikan sagu hati khas kepada salah seorang bekas polis zaman darurat, Supian Arjo sambil diperhatikan Din Ahmad (kanan) di Batu Pahat, semalam.


BATU PAHAT 13 April - Tindakan pemimpin pembangkang yang didakwa berkelakuan biadab kerana mempersenda Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu wajar dibangkitkan di Parlimen supaya tindakan itu tidak diulangi mana-mana pihak.
Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tindakan seperti yang didakwa itu boleh disifatkan sebagai berunsur hasutan supaya orang ramai terikut-ikut menghina Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu.
"Kebetulan pada Isnin ini akan dibahaskan satu rang undang-undang baru mengenai kesalahan keselamatan yang mana salah satu kesalahan yang ditekankan adalah mengenai membangkitkan rasa tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Ketika perbahasan nanti bolehlah Ahli Parlimen membangkitkan tindakan kurang ajar pembangkang ini kerana ia menggalakkan orang lain tidak setia kepada baginda," katanya selepas menyampaikan sumbangan sagu hati khas kepada bekas polis zaman darurat peringkat daerah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, di sini hari ini.
Seramai 64 daripada 1,053 bekas polis dan wakil mereka menerima sumbangan RM3,000 setiap seorang.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad.
Menurutnya, tindakan kurang ajar pembangkang itu bertentangan dengan sikap seorang pemimpin, sedangkan mereka sewajarnya berasa bertuah kerana dijemput ke istiadat pertabalan tersebut.
"Mereka (pembangkang) sering mempertikaikan Parlimen kita sebagai tidak bertaraf dunia apabila tidak dapat melakukan apa yang mereka suka. Sedangkan mereka menunjukkan sikap biadab kepada raja-raja Melayu," katanya.
Pada masa sama, Mohd. Puad berkata, beliau yakin dakwaan itu berasas kerana Dr. Rahman Kadir yang mendedahkan perkara tersebut tidak berselindung dan berani menggunakan nama sebenar.
/HWA: utusan.com.my | 14/4/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan