BALIK PULAU 10 April - Nilai hartanah yang meningkat di kawasan ini
serta perancangan pembinaan beberapa projek mega dipercayai menjadi
punca sebuah syarikat hartanah swasta berminat untuk membeli tanah
penduduk kampung di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi
Yahaya (gambar) berkata, tawaran itu juga dipercayai ada kaitan
dengan ura-ura bahawa kerajaan DAP Pulau Pinang merancang untuk membina
terowong bawah tanah dari Bayan Lepas ke Balik Pulau.
"Saya mendapat maklumat mengenai pembinaan terowong dan jika projek
tersebut bermula, sudah pasti harga hartanah di sini akan meningkat
dengan mendadak.
"Faktor inilah dipercayai menyebabkan syarikat hartanah berkenaan
berminat untuk membeli tanah-tanah di sini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Menu
Rakyat 1Malaysia (MR1M) di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi
dan Kepenggunaan negeri, Mohd. Salleh Maamor.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan ADUN Pulau
Betong, Muhammad Farid Saad tentang usaha sebuah syarikat pemaju swasta
yang sedang rancak memujuk penduduk di kawasan itu supaya menjual tanah
milik mereka.
Lebih menimbulkan persoalan, tawaran berkenaan dibuat melalui surat
yang dihantar secara terus kepada pemilik nama pada geran tanah.
Mengulas lanjut, Hilmi menjelaskan, pemilik tanah yang mendapat
tawaran dinasihatkan tidak terburu-buru menjual tanah mereka.
Sementara itu, MR1M yang ditawarkan Restoran Peladang itu merupakan
cawangan ke-120 di negeri ini dan kerajaan menyasarkan 200 kedai
menyertai program tersebut menjelang hujung tahun ini.
/HWA: utusan.com.my | 11/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan