KUALA LUMPUR 17 April - Ketua Pemuda UMNO, Khairy
Jamaluddin (gambar) membidas sikap tidak bertanggungjawab Ahli-ahli
Parlimen pembangkang yang tidak hadir semasa sesi penerangan bersama
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam usaha menyelesaikan isu senarai
nama pengundi.
Khairy menyatakan rasa kecewanya itu ketika sesi perdebatan dengan
Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke menerusi laman debat dalam talian, www.ipidato.com.
Menurutnya, hanya kira-kira 10 ahli Parlimen pembangkang yang hadir
pada sesi berkenaan dan kecewa kerana Anthony juga tidak hadir.
"Senarai pengundi merupakan isu paling penting dalam lapan tuntutan
Bersih. Bagaimanapun, apabila SPR meminta Ahli-ahli Parlimen daripada
Barisan Nasional (BN) dan pembangkang menghadiri sesi penerangan pada
hari ini, hanya kira-kira 10 ahli Parlimen pembangkang sahaja yang
hadir, saya amat kecewa dan kamu (Anthony) juga tidak hadir.
"Bagaimana kita mahu berusaha ke arah mencari penyelesaian dalam
usaha 'membersihkan' senarai pengundi, sedangkan pemimpin-pemimpin
pembangkang sudah pun membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan
BN dan SPR. Sebaliknya mahu membawa isu berkenaan ke jalan raya,"
katanya menerusi laman debat berkenaan.
Laman pidato dalam talian atau dikenali sebagai iPidato dilancarkan
oleh MyEG dan merupakan platform yang membolehkan dua individu
mengutarakan pendapat atau bantahan berkenaan sesuatu isu.
Platform iPidato tersebut menyerupai laman sosial Twitter di mana
pendebat-pendebat boleh mengambil bahagian untuk memuat naik perdebatan
mereka dan orang ramai boleh mengikutinya apabila mengunjungi laman
berkenaan.
Dalam pada itu, Khairy turut membidas tindakan Anthony membangkitkan
dakwaan bahawa SPR mungkir janji kerana enggan melupuskan 42,000 nama
yang bukan senarai pengundi selepas tempoh pemaparan.
Menurut Khairy, Pengerusi SPR, Tan Sri Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof
telah memberi jawapan mengenai perkara tersebut di mana 42,000 nama
berkenaan adalah senarai pengundi yang tidak aktif berdasarkan Jabatan
Pendaftaran Negara.
Katanya, sebahagian daripada senarai berkenaan disyaki tinggal di
kawasan pedalaman dan tidak berhubung dengan JPN untuk satu tempoh yang
lama.
Selain itu ujarnya, SPR juga telah memaparkan dan menghantar senarai
nama kepada semua parti politik bagi membantu mengenal pasti sama ada
pengundi-pengundi dalam senarai berkenaan masih hidup dan ia berterusan
sehingga boleh disahkan statusnya.
"Saya telah mengkaji semula laporan Jawatankuasa Pilihan Khas
Parlimen (PSC) mengenai penambahbaikan proses pilihan raya dan mendapati
bahawa Pengerusi SPR memberitahu tidak mudah untuk menggugurkan nama
dan tujuan tatapan umum adalah untuk memudahkan proses berkenaan.
''Beliau tidak pernah berjanji untuk menggugurkan nama serta-merta selepas sesi pemaparan dilakukan," jelasnya.
/HWA: utusan.com.my | 18/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan