Pages

19 April 2012

Laksanakan dahulu di Selangor

SHAH ALAM 17 April - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini mendesak kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor memberi pendidikan percuma kepada rakyatnya terutama di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri seperti Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).
Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, pemimpin parti pembangkang yang mendesak Kerajaan Pusat menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu membuktikan perkara itu dilaksanakan terlebih dahulu oleh kerajaan negeri di bawah pentadbiran mereka.
Beliau berkata, sekiranya benar kerajaan negeri mempunyai wang simpanan berjumlah sehingga RM1.9 bilion seperti dinyatakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dana itu perlu digunakan untuk menampung perbelanjaan pendidikan percuma kepada rakyat Selangor.
"Selain itu, sekiranya mereka mahu Kerajaan Pusat menghapuskan PTPTN kononnya untuk meringankan beban rakyat di negeri ini, kerajaan negeri juga perlu menghapuskan pinjaman pengajian tinggi daripada Yayasan Selangor yang dilihat membebankan pelajar kerana mereka perlu membayar semula selepas tamat pengajian," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan kira-kira 200 mahasiswa menyertai demonstrasi membantah PTPTN di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Sabtu lalu serta janji Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu memansuhkan pinjaman pelajaran itu jika parti pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang.
Hamidzun menganggap Anwar cuba memperbodohkan rakyat di negeri ini apabila dalam satu ceramahnya di Seksyen 7, di sini pada malam Rabu lalu, Penasihat Ekonomi negeri itu mendakwa, kerajaan negeri tidak boleh memberi pendidikan percuma kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat.
Katanya, kenyataan Ketua Pembangkang itu tidak berasas sama sekali kerana di dalam Perlembagaan Persekutuan, bidang pendidikan merupakan tanggungjawab bersama di antara kerajaan negeri dan Pusat.
Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Orang Muda (Serang), Budiman Mohd. Zohdi berkata, janji manis yang ditabur oleh Anwar itu merupakan tindakan populis bagi meraih sokongan memandangkan pilihan raya umum kian hampir.
Katanya, pinjaman PTPTN sepatutnya tidak dijadikan isu kerana ia adalah pembiayaan berbentuk pinjaman dan terpulang kepada pelajar untuk membuat pinjaman atau sebaliknya.
/HWA: utusan.com.my | 18/4/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan