HARI ini 3 April, genap tiga tahun Datuk Seri
Najib Tun Razak menyandang jawatan Perdana Menteri. Dalam rumusan
penganalisis ekonomi dan politik tanah air, rata-rata apabila ditanya
sama ada secara spontan atau panjang lebar terhadap rekod Najib dalam
tiga tahun ini - satu sahaja - beliau penuh idealistik dan praktikal.
Tidak mahu retorik tentang komen beliau, Ketua Eksekutif Institut
Kajian Strategik Antarabangsa Malaysia (ISIS), Dr. Mahani Zainal Abidin
percaya pandangannya itu turut dikongsi oleh sebahagian besar rakyat
negara ini yang diyakininya telah melihat secara realiti itu.
"Dalam tiga tahun ini, Perdana Menteri memberikan kita semua beberapa
gagasan dan strategi beliau bagaimana hendak membawa negara dan ekonomi
ke tahap pembangunan lebih tinggi.
"Beliau ada wawasan strategiknya. Dan ini bukan melibatkan satu
sahaja tetapi banyak bidang - dari segi ekonomi, perpaduan dan
kesejahteraan rakyat," kata beliau kepada penulis semalam.
Sesuatu yang agak luar biasa yang dilihat Dr. Mahani mengenai Najib
ialah beliau begitu praktikal.
"Ini kerana ada juga idea beliau yang perlu ditambah baik apabila
beliau mendapat feedback (maklum balas). Tetapi yang
bagusnya, beliau begitu open (terbuka) untuk menyesuaikan teguran
atau kritikan itu dengan strategi yang dibinanya.
"Kadang-kadang orang melihat ia flip flop tetapi itulah yang
diinginkan Perdana Menteri untuk melihat gagasan atau ideanya ditambah
baik," kata Dr. Mahani lagi.
Beliau menarik perhatian bahawa tempoh tiga tahun yang ditempuh
Perdana Menteri khususnya dalam menggerakkan ekonomi negara pada
hakikatnya penuh berliku. Tetapi Najib terus mengharunginya dengan
yakin.
"Jika kita lihat Malaysia tidak terkecuali daripada menerima padah
impak krisis ekonomi global tetapi beliau menerajui negara dengan tenang
dan baik menerusi tadbir urus berkesan sehingga kita akhirnya tidak
terjerumus sama ke dalamnya.
"Contoh terdekat ialah bagaimana kita perlukan pelaburan dalam
suasana pelaburan yang getir dan mencabar. Dan Perdana Menteri telah
merebut pasaran perdagangan ini dengan menggerakkan jaringan dengan
negara-negara Timur Tengah selain menerusi inisiatif perdagangan bebas.
"Rumusannya, Perdana Menteri mempunyai strategi yang clear (jelas)
untuk memandu negara ini ke tahap yang lebih baik dalam segi ekonomi
dan kesejahteraan rakyat," kata beliau.
Nada sama turut dikongsi oleh Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang
Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr.
Mohd. Azizuddin Mohd. Sani.
"Kita rakyat boleh bagi kredit untuk beliau. Ini dengan usahanya yang
semakin berjaya dalam mengubah masyarakat ke arah yang lebih matang,"
kata beliau. Beliau memberi contoh bagaimana Najib berusaha melaksanakan
pembaharuan dari segi undang-undang.
Antaranya, memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan
menstrukturkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
"Banyak kesan positifnya yang melingkari psikologi fikiran rakyat
ketika ini," kata beliau.
Azizuddin juga mahu rakyat melihat bagaimana Malaysia sebenarnya
berkali ganda lebih baik daripada negara tetangga di rantau ini.
"Dari segi ekonomi, sosial, politik, kesihatan, pendidikan dan apa
sahajalah, kita sebenarnya jauh lebih baik daripada mereka. Malah,
pembangunan dan kestabilan negara kita lebih baik berbanding
negara-negara di Eropah Timur.
"Tetapi malangnya, ada segelintir pihak cuba melontarkan persepsi
negatif kepada usaha-usaha kerajaan ini. Persepsi negatif ini sedikit
sebanyak merencatkan apa yang kita hendak capai.
"Namun, saya percaya rakyat yang kini lebih terbuka mampu menilai
mana yang lebih baik," kata beliau.
Dr. Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak pula melihat satu
segmen besar dalam memberikan komen tiga tahun Malaysia diterajui Najib.
"Seorang pemimpin yang mengotakan janji," kata beliau yang mempunyai
pengetahuan luas dalam menghurai sosio politik di Sarawak dan Sabah.
Najib, kata beliau, melakukan banyak reformasi dari segi ekonomi,
politik dan sosial selaras dengan janjinya ketika mula-mula mengambil
alih kepimpinan kerajaan.
"Rakyat memang jelas bahawa Perdana Menteri seorang pemimpin yang
memiliki komitmen yang tinggi untuk memperjuangkan kepentingan rakyat.
Beliau telah meletakkan perpaduan kaum sebagai agendanya.
"Demikian juga dengan dasar-dasar peruntukan yang disalurkan untuk
semua kaum, baik Melayu, Cina, India seterusnya melangkaui penduduk di
Sabah dan Sarawak," kata beliau.
Yang dilihat oleh Dr. Jeniri sekarang ialah pembangkang semakin gusar
dengan impak pentadbiran Perdana Menteri dalam tiga tahun ini.
"Pembangkang hidup di atas kelemahan orang lain. Dengan Datuk Seri
Najib dilihat sentiasa meningkat prestasinya dari hari ke hari dalam
pendekatannya untuk kemajuan negara dan kesejahteraan hidup rakyat,
mereka (pembangkang) pula kini terkial-kial untuk mencari isu yang boleh
dieksploitasi.
"Namun saya ingin ingatkan di sini bahawa kerja keras Perdana Menteri
ini mesti dituruti sama oleh kepimpinan dan anggota parti-parti
komponen Barisan Nasional yang lain. Saya percaya ini sedang
diusahakan," kata beliau.
Transformasi ekonomi dan pentadbiran yang diperkenalkan Najib yang
matlamatnya untuk membawa perubahan serta kemajuan rakyat dan negara
semakin membuka mata semua pihak.
Sebutlah apa sahaja jenama 1Malaysia daripada cetusan Gagasan
1Malaysia. Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), Kedai Rakyat 1Malaysia
(KRIM), Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M), Bantuan Persekolahan 1Malaysia
(BP1M), Bantuan Baucer 1Malaysia (BB1M) dan Klinik 1Malaysia - semuanya
untuk manfaat rakyat. Ia antara 10 transformasi Sentuhan Rakyat yang
mendapat sambutan menggalakkan.
Itu baru produk-produk yang melibatkan jenama 1Malaysia. Kalau dari
segi lain, demikianlah juga impak positif kepada rakyat. Strategi Lautan
Biru Kebangsaan contohnya yang banyak kejayaan dicapai.
Antaranya lebih 40,000 anggota polis dapat menjalankan rondaan pada
masa kini. Disebabkan strategi Lautan Biru ini, banduan-banduan di
kem-kem tertentu dapat ditempatkan.
Dan mereka dapat menjalani sisa-sisa hukuman dalam keadaan yang lebih
selesa serta mampu mengeluarkan hasil pertanian yang memberi keuntungan
kepada mereka dan juga kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Melewati tiga tahun kerajaan di bawah Najib tampak jelas idealistik
dan praktikal.
/HWA: utusan.com.my | 3/3/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan