YALA 11 April - Pentadbir wilayah Yala mahu mencontohi kaedah yang
digunakan oleh Barisan Nasional (BN) untuk menyatukan rakyat Malaysia
yang berbeza kaum dan agama.
Gabenor Yala, Dejrath Simsiri berkata, kaedah digunakan oleh parti
yang memerintah Malaysia itu amat baik dan terbukti berkesan untuk
mewujudkan keamanan serta merapatkan jurang perbezaan antara rakyat.
Beliau berkata, antara punca pergolakan terus berlaku di wilayah ini
disebabkan tiada kestabilan politik untuk mewujudkan sikap saling
percaya antara rakyat.
“Kita melihat bagaimana BN dapat menyatupadukan tiga kaum utama di
Malaysia, Melayu, Cina dan India untuk hidup aman bersama, ini adalah
contoh terbaik.
“Kestabilan politik amat penting jika kita mahu hidup aman dan damai,
kita harus belajar daripada BN, saya kagum dengan apa yang BN lakukan
sejak merdeka sehingga sekarang rakyat hidup aman dan damai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat mengenai serangan bom pada
31 Mac lalu yang mengorbankan 12 nyawa dan mencederakan lebih 100 orang
di pejabat pentadbiran Yala di sini, semalam.
Sejak tahun 2004, siri keganasan dan serangan bom di Yala telah
mengorbankan 1,299 nyawa di mana 800 daripadanya adalah penduduk
beragama Islam dan 200 penganut Buddha, manakala selebihnya kakitangan
kerajaan Thailand termasuk tentera serta polis.
Dejrath berkata, agak sukar untuk pihaknya meramalkan bila masalah
atau siri keganasan di wilayah selatan Thailand ini akan berakhir.
“Sukar untuk kita katakan bila ia akan berakhir kerana sehingga kini
tidak ada titik penyelesaian lagi tetapi kita sedang berusaha dan jumlah
serangan keganasan seperti ini semakin berkurangan setiap tahun.
“Saya mengakui masalah ini agak sukar untuk diselesaikan apabila kita
terlalu kerap menukar kerajaan yang sedikit sebanyak menganggu proses
keamanan,” katanya.
Katanya lagi, apa yang penting rakyat semakin sedar siri serangan
keganasan seperti itu tidak memberikan sebarang faedah dan ia akan hanya
menyebabkan kehidupan mereka semakin sukar.
Ujarnya, ia terbukti apabila sokongan rakyat terhadap puak pemisah
semakin berkurangan kerana mereka tidak mahu hidup dalam ketakutan.
/HWA: utusan.com.my | 12/412
Tiada ulasan:
Catat Ulasan