MUAR 2 April - Belum pun memerintah negeri ini, pakatan pembangkang
sudah mula menampakkan sifat 'tamak kuasa' dan berebut jawatan untuk
menjadi Menteri Besar jika menang di Johor.
Bagaimanapun, hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk meletakkan
Pengerusi PKR negeri, Datuk Chua Jui Meng sebagai Menteri Besar jika
menang, tidak sehaluan dengan kehendak Pas yang mahu calon bagi jawatan
itu diberikan kepada seorang Melayu dan beragama Islam.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, hanya Melayu
yang beragama Islam akan dilantik sebagai Menteri Besar Johor jika
pembangkang berjaya merampas negeri itu.
Katanya, semua pemimpin pakatan pembangkang telah bersetuju dengan
syarat tersebut seperti yang dibincangkan sebelum ini.
"Kami telah bincangkan dengan pemimpin DAP dan PKR tentang perkara
ini iaitu di Johor hanya Melayu Islam boleh dilantik menjadi Menteri
Besar.
"Tidak timbul lagi isu siapa menjadi Menteri Besar Johor jika pakatan
pembangkang menang,'' katanya kepada pemberita selepas mengadakan
ceramah di Sungai Balang, di sini malam tadi.
Beliau mengulas ura-ura beberapa pihak dalam pakatan pembangkang
berhasrat meletakkan Jui Meng yang juga bekas Menteri Kesihatan sebagai
Menteri Besar Johor jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Pada 12 Februari lalu, Jui Meng dalam satu majlis sambutan Tahun Baru
Cina di Johor, ketika ditanya sama ada Naib Presiden Pas, Salahuddin
Ayub akan dilantik sebagai Menteri Besar Johor, beliau menjawab, perkara
itu masih belum dibincangkan.
Menurut Jui Meng, keputusan mengenainya akan ditentukan oleh
ketiga-tiga pemimpin utama dalam pakatan pembangkang dan mereka perlu
menang dahulu di Johor sebelum membuat penentuan.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, Pas Johor sudah mengenal pasti
calon yang bersesuaian untuk bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri
(DUN) dan Parlimen pada pilihan raya akan datang.
Katanya, Pas Johor juga akan meletakkan calon muda dan wanita jika
menerima maklum balas positif di peringkat cawangan dan bahagian.
/HWA: utusan.com.my | 3/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan