Pages

3 April 2012

Saham: Azmin sifatkan fitnah, mahu angka tepat

KUALA LUMPUR 2 April – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali (gambar) yang sebelum ini enggan mengulas mengenai pemilikan saham berjumlah jutaan ringgit dan pernah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung perkara itu, hari ini menafikan memiliki saham berkenaan.
Beliau sebaliknya menyifatkan pihak-pihak yang mengaitkan dirinya dengan pemilikan saham itu sebagai pemfitnah, sekali gus mahu individu yang membuat kenyataan tersebut mengemukakan bukti.
“Ada ke saham itu, kalau ada bagi saya ... kalau ada lapan juta, dua juta bagi saya,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen di sini hari ini.
Azmin turut mencadangkan agar pihak-pihak yang menimbulkan isu saham itu memberi angka yang lebih tepat mengenai jumlah yang dimilikinya itu.
Baru-baru ini, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali mencabar Ahli Parlimen Gombak itu menjelaskan sumber kewangannya ketika menjadi pegawai kerajaan pada 1992 hingga 1994.
Sebelum itu, bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari turut mendesak SPRM mendedahkan status terkini siasatan pemilikan saham Azmin.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak pembangkang telah mengemukakan notis untuk pindaan terhadap laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya bagi memuatkan satu penyata minoriti berhubung daftar pemilih.
Katanya, notis tersebut telah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini.
Laporan PSC berkenaan telah diedarkan kepada semua anggota Parlimen hari ini, namun ia tidak boleh disiarkan sehingga dibentang untuk dibahaskan dalam Dewan Rakyat esok. 
/HWA: utusan.com.my | 3/4/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan