KUALA LUMPUR 20 Mei - Muzakarah antara Pas dan
UMNO perlu disegerakan demi kepentingan bangsa, agama dan negara
walaupun syarat yang ditetapkan Pas mungkin sukar diterima.
Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berkata, sebagai dua
buah parti Melayu Islam terbesar di negara ini, cadangan yang sudah lama
tertangguh itu harus dipercepatkan dengan mengenepikan kepentingan
parti.
"Mungkin syarat yang ditetapkan Pas itu payah untuk diterima UMNO
tapi saya harap kepimpinan kedua-dua parti dapat berlapang dada
memikirkan sesuatu demi kepentingan ummah dan negara dalam semua aspek.
"Saya juga yakin jika kepimpinan Pas dan UMNO dapat duduk semeja,
mungkin banyak benda dapat dihuraikan," katanya kepada pemberita pada
majlis perkahwinan anak perempuannya di Bandar Bukit Mahkota, di sini
hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas,
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menetapkan beberapa syarat kepada UMNO
sebelum muzakarah dapat diadakan.
Majlis perkahwinan Nusaibah dengan pasangannya Mohd. Nazri Husain itu
turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin;
bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dan Speaker Dewan
Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.
Nasharudin berkata, kenyataan Nik Abdul Aziz yang menyifatkan
sekarang adalah waktu paling sesuai untuk menjayakan muzakarah antara
parti itu dengan UMNO diharap dapat mempercepatkan prosesnya.
"Saya harap kenyataan Mursyidul Am Pas itu dapat membuka ruang untuk membolehkan muzakarah itu mengambil tempat," katanya.
Mengenai kehadiran pendokong golongan lesbian, biseksual, gay dan
transgender (LBGT), Irshad Manji yang akan mempromosikan bukunya Liberty and Love di negara ini, Nasharudin memuji langkah kerajaan yang tidak membenarkan sebarang program oleh penulis berkenaan.
"Rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak harus
menolak apa sahaja program atau individu yang membawa pemikiran
sedemikian kerana ia akan memberi kesan negatif kepada masyarakat.
"Jangan diberi langsung ruang kepada kemungkaran ini untuk bertapak di negara kita," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 21/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan