MOHD. Zin Mohamed (dua dari kiri)
mengadakan sidang akhbar mengenai isu air di Shah Alam, Selangor,
semalam. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah
*****
SHAH ALAM 21 Mei - Barisan Nasional (BN) Selangor
berjanji akan menyelesaikan kebuntuan dalam usaha menangani masalah
pembekalan air bersih di negeri ini dan Lembah Klang sekiranya diberi
mandat memerintah semula.
Koordinator BN negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata,
sehingga kini, kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor masih
enggan memberikan kebenaran supaya Projek Loji Rawatan Air Langat 2
diteruskan sedangkan rizab air di negeri ini hanya tinggal 2.4 peratus
berbanding kadar sepatutnya iaitu 20 peratus.
Beliau yang menganggap masalah air tersebut sebagai serius dan
genting menegaskan, usaha itu bagi memastikan kepentingan awam untuk
mendapatkan sumber air bersih mencukupi terjamin sekali gus mengelakkan
rakyat daripada menderita akibat krisis air menjelang 2014.
"Kerajaan negeri sanggup berdolak-dalik malah tergamak menahan
kelulusan yang telah diperoleh sebelum ini semata-mata kerana
kepentingan politik sempit mereka.
"Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) bukan sahaja sanggup
membawa perkara itu ke peringkat antarabangsa bagi meraih simpati malah
menabur fitnah apabila menuduh syarikat yang mengendalikan operasi
perkhidmatan bekalan air di negeri ini sebagai tidak berupaya," katanya
kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini dilaporkan isu bekalan air di Lembah Klang menyebabkan
129 kilang dengan nilai pelaburan RM3.8 bilion dan menjana 12,300
peluang pekerjaan tidak dapat dilaksanakan selain sejumlah projek
perumahan gagal dibangunkan ekoran tiada jaminan bekalan air mencukupi.
Mohd. Zin berkata, kajian menunjukkan Lembah Klang akan mengalami
krisis air yang serius pada 2014 jika tiada usaha bersepadu mendapatkan
bekalan air mentah dari luar dan pelbagai kajian juga menunjukkan
keputusan menyalurkan bekalan air mentah dari Pahang dilakukan kerana ia
melibatkan kos paling kompetitif.
"Isu ini juga telah mendapat teguran Sultan Selangor, Sultan
Sharafuddin Idris Shah apabila baginda sendiri bertitah agar isu air
tidak dipolitikkan demi kepentingan rakyat. Masalah ini akan mengancam
masa depan Selangor, ini bukan masanya untuk bermain politik.
"Kesanggupan kerajaan negeri membatalkan keputusan yang telah
diperoleh sejurus menang dalam pilihan raya umum lalu menunjukkan sikap
hipokrit kerajaan pakatan pembangkang PKR, DAP dan Pas," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 22/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan