PULAU PINANG 14 Mei - Pengerusi DAP, Karpal Singh
digesa berdiam diri dan tidak lagi membuat sebarang kenyataan berkaitan
dengan perundangan Islam termasuk hudud.
Setiausaha Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang, Mohd. Nor
Suhaili Jamali berkata, sebagai pemimpin kanan di negara ini, Karpal
sepatutnya menjaga sentimen umat Islam.
Menurutnya, masyarakat Islam merasa terguris apabila pemimpin bukan Islam sewenang-wenangnya memberi komen mengenai hudud.
"Janganlah perkara-perkara berkaitan Islam diperlekehkan oleh orang bukan Islam.
"Sepatutnya perkara sebegini dibincangkan oleh kita terlebih dahulu tanpa campur tangan orang bukan Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Karpal baru-baru ini membidas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang berhubung cadangan Pas yang mahu melaksanakan hudud.
Malah kata Karpal, Pas tidak berhak bercakap bagi pihak pembangkang
bahawa mereka akan melaksanakan hukum hudud jika memerintah negara.
Abdul Hadi dalam laporan akhbar 10 Mei lalu, menyatakan hukum hudud
hanya akan dilaksanakan apabila masalah pengangguran dan kemiskinan
diselesaikan serta penetapan gaji minimum dibuat.
Mohd. Nor Suhaili turut mendesak Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk
menyatakan pendiriannya berhubung pelaksanaan hukum hudud di Pulau
Pinang.
"Kami minta Guan Eng nyatakan pendirian sama ada sokong atau tidak hudud di Pulau Pinang," ujarnya.
/HWA: utusan.com.my | 15/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan