TASEK
GELUGOR, 4 Mei – Hadis riwayat Abu Hurairah ra; Dari Nabi saw, beliau
bersabda, seorang mukmin tidak boleh dua kali jatuh dalam lubang yang
sama… Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya berkata Pas
sepatutnya menyelami hadis ini kerana Pas perlu sedar bahawa parti
mereka sebenarnya tidak penting di pandangan rakan sekutunya.
“Disebabkan Pas tidak penting dan tidak dipercayai oleh DAP dan PKR,
maka DAP mengambil keputusan untuk meletakkan calon Melayu pada Pilihan
Raya Umum (PRU) akan datang. Dengan ini, DAP tidak perlu lagi
bergantung kepada Pas untuk meraih sokongan orang Melayu.
“Pada pandangan saya, DAP sebenarnya telah belajar dari kesilapan
mereka pada PRU yang lalu di waktu mereka berjaya menawan negeri Perak.
Walaupun banyak kerusi dimenangi oleh DAP tetapi kerana mereka tidak
mempunyai calon Melayu maka jawatan Menteri Besar terpaksa diserahkan
kepada Pas.
“Senario di Pulau Pinang juga telah membuktikan bahawa Pas tidak
dipandang langsung oleh DAP apabila tiada satupun jawatan dalam EXCO
diberikan kepada Pas. Oleh itu, Pas patut sedar dan jangan terus membuat
kesilapan dan membiarkan parti mereka terus-terusan menjadi kuda
tunggangan. Lain lah kalau Pas memang suka diperalatkan,” ujar Shabudin
kepada UMNO-Online.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai strategi DAP
yang telah mengenal pasti beberapa nama orang Melayu untuk diletakkan
sebagai calon di PRU ke 13.
Tambah Shabudin, fokus DAP sebenarnya adalah parti mereka menang tanpa mengharapkan Pas mahupun PKR.
Ini katanya lagi merupakan satu lagi faktor mengapa pakatan
pembangkang masih tidak mendaftarkan gabungan tiga parti ini. Sekiranya
mereka benar-benar mempunyai satu perjuangan yang sama, sudah pasti
tiada masalah untuk gabungan ini didaftarkan.
“Dahulu mereka memberikan alasan masih baru. Tapi, tak mungkin sampai
sekarang mereka masih tidak boleh mendaftarkan gabungan ini sekiranya
mereka benar-benar bersependapat. Melainkan memang tiada kata putus
kerana mereka semua tamak dan tidak mempunyai matlamat perjuangan yang
sama.
“Ini sekali lagi membuktikan mereka bukannya mempunyai matlamat untuk
membela rakyat, tetapi hanyalah ingin berkuasa. Masing-masing mempunyai
agenda tersendiri tanpa memikirkan nasib rakyat mahupun masa hadapan
negara,” jelas Shabudin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Berangan ini juga amat
berharap agar Pas terjaga dari lema yang panjang dan dapat melihat
konteks ini dengan jelas.
“Pas harus bangkit dan bertegas dengan perjuangan mereka selama ini.
Jangan terus di ulit mimpi sehingga akhirnya, mereka terus tertindas dan
tidak mempunyai kerusi di negeri lain kecuali Kelantan untuk
bertanding”, katanya. – MediaUMNO.
/HWA: umno-online.com | 5/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan