Pages

15 Mei 2012

Perjuangan caca-marba Majlis Peguam

APA sebenarnya hala tuju Majlis Peguam sekarang ini? Adakah masih kekal dengan matlamat mahu menegakkan kedaulatan undang-undang, melindungi kepentingan profesion guaman dan orang awam?
Atau badan yang mewakili cerdik pandai undang-undang itu semakin caca-marba hala tujunya sehingga bercampur baur dengan politik menjadikan Majlis Peguam menyimpang dari matlamat asal penubuhannya.
Sebagai sebuah badan bebas yang bertunjangkan Akta Profesion Undang-Undang 1976, tentunya Majlis Peguam bukan calang-calang. Profesion peguam itu sendiri dipandang tinggi dan hebat di kaca mata orang awam.
Seperti mana Majlis Perubatan atau apa sahaja badan yang menyelia khidmat profesional, anggotanya tertakluk kepada undang-undang. Maknanya, setiap badan mesti bergerak di dalam ruang lingkup yang ditetapkan dan badan yang ditubuhkan menjadi pembimbing, pemantau dan penyelia supaya ahlinya tidak tersasar.
Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hala tuju Majlis Peguam ada lencongan kanan dan kiri. Isu yang menjadi kecenderungan badan itu dilihat agak terbatas kepada perjuangan parti pembangkang. Apa jua isu yang disuarakan pembangkang terutama parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim segera mendapat tempat dalam badan itu.
Bukan itu saja, baik bekas presiden atau pun presidennya dilihat menjadi penggerak kepada aktiviti-aktiviti yang menyanggah undang-undang seperti yang terbaru perhimpunan haram mahu ‘menakluk’ Dataran Merdeka. Sudah acap kali dibangkitkan perihal perhimpunan haram itu. Apabila ditanya mengapa mahu berhimpun, jawab bekas orang kuat badan itu untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Namun tidak diperjelaskan pula adakah pilihan raya yang bersih dan adil sebelum ini hanya di lima negeri yang tumbang kepada pembangkang. Adakah kemenangan Barisan Nasional di negeri-negeri lain bukan disebabkan pilihan raya yang bersih dan adil?
Sebab itu apabila bercakap tentang suara Majlis Peguam sekarang ini, nadanya memang agak berbeza daripada dahulu. Kalau dulu Majlis Peguam bercakap tentang pembaharuan undang-undang, kepentingan ahli terutama peguam muda dan pelbagai kesukaran yang terpaksa ditempuh orang awam untuk mendapat keadilan, kini tidak lagi.
Bukan tidak pernah Majlis Peguam mengadakan perarakan atau demonstrasi. Trend sebelum tahun 2000 misalnya menyaksikan beberapa perarakan anjuran Majlis Peguam berlangsung secara aman. Sebagai cerdik pandai undang-undang mereka akur kepada kehendak undang-undang. Undang-undang bukan untuk mencetuskan kekacauan jauh sekali dijadikan alat untuk menimbulkan provokasi sehingga akhirnya menukar suasana aman kepada huru-hara.
Catatan siri perarakan anjuran Majlis Peguam sebelum ini termasuk bagi membantah penggubalan Akta Pertubuhan 1978, sebagai tanda sokongan kepada peguam Zainur Zakaria yang menghadapi tuduhan menghina mahkamah berkaitan kes Anwar pada 1999 dan Walk of Justice pada 2007 tidak dicacatkan dengan insiden keganasan.
Mereka berarak secara aman. Isu yang diketengahkan juga amat berkaitan dengan tuntutan asal penubuhan itu iaitu mengangkat kedaulatan undang-undang, menegakkan keadilan, melindungi kepentingan pengamal undang-undang dan orang awam.
Biar pun ada yang melihat badan itu mula cenderung kepada pemimpin politik tertentu selepas tahun 2000, namun pergerakan mereka masih dikawal undang-undang yang menjadi asas kepada penubuhan badan itu.
Badan peguam tidak mengajar orang lain melanggar undang-undang. Pemimpinnya juga akur kepada tuntutan setiap perhimpunan mestilah berlangsung secara aman. Sebab itu tiada insiden kekerasan atau keganasan setiap kali Majlis Peguam menganjurkan perhimpunan.
Namun semua itu tidak lagi. Majlis Peguam menjadi badan paling ke hadapan membantah undang-undang. Budaya degil jelas dipupuk oleh bekas presiden badan itu.
Paling mengelirukan apabila perhimpunan anjuran bersama bekas presiden Majlis Peguam dengan mendapat restu Majlis Peguam itu sendiri dipelopori pemimpin-pemimpin pembangkang yang tiada latar belakang undang-undang. Apakah itu kehendak kira-kira 14,000 ahli Majlis Peguam? Adakah mereka mengizinkan badan yang menaungi profesion mulia itu menjadi alat puak-puak tertentu?
Amat jelas Majlis Peguam kini bergerak untuk mengetengahkan agenda kumpulan tertentu. Mereka mahu menggunakan bijak pandai undang-undang untuk melumpuhkan undang-undang itu sendiri sehingga akhirnya undang-undang rimba mendapat tempat.
Justeru apa relevannya Majlis Peguam jika sebenarnya perjuangan yang menjadi keutamaan adalah untuk memenuhi agenda orang luar badan itu.
Lebih memeritkan isu yang diperjuangkan mencetuskan huru-hara dan pelanggaran undang-undang yang amat ketara sekali. Isu-isu yang sepatutnya menjadi perhatian pula semakin terpinggir.
/HWA: utusan.com.my | 15/5/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan