Pages

10 Mei 2012

Semak semula transformasi UMNO

PADA 11 Mei ini Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) akan menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-66. Satu perhimpunan raksasa akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menunjukkan kekuatan parti itu untuk terus mara mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya yang bakal diadakan nanti.
Apa pun, pada hemat penulis dalam menyambut ulang tahun ini banyak perkara yang perlu disemak oleh parti itu, terutamanya keberkesanan transformasi parti yang telah dimulakan sejak tahun 2009.
Sayugia diingat bahawa kedudukan UMNO tidak seperti dulu lagi. Kalau sebelum ‘tsunami politik’ 2008, UMNO berada dalam zon selesa tetapi hari ini UMNO berhadapan cabaran yang cukup besar terutama bagi memastikan ia akan terus diterima dan dipercayai rakyat. Perkara ini bukan mudah kerana rakan-rakan utama UMNO dalam komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC juga turut mengalami ‘tsunami politik’ yang mengejutkan itu.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (2008), UMNO dan BN telah kehilangan beberapa negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Manakala Kelantan yang telah lama berada di bawah pentadbiran kerajaan Pas terus kekal di kuasai parti itu.
Selain itu, BN turut kehilangan banyak kerusi Parlimen. Malah, ia turut menyaksikan kekalahan tokoh berprofil tinggi.
Daripada segi peratusan perolehan undi parti-parti komponen BN, UMNO memperolehi 29.59 peratus, MCA 10.21 peratus, MIC 2.21 peratus dan Gerakan 1.99 peratus. Manakala BN Sarawak menyumbang 4.14 peratus dan BN Sabah menyumbang 1.62 peratus menjadikan jumlah keseluruhan yang diterima BN 49.79 peratus.
Bagi pihak pakatan pembangkang pula Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperolehi 18.45 peratus, DAP 13.72 peratus dan Pas 14.05 peratus menjadikan jumlah keseluruhan peratusan undi yang diperolehi pakatan pembangkang 46.22 peratus. Baki peratus undi ialah calon Bebas 1.03 peratus dan undi rosak 2.16 peratus.
Justeru, Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti dijangka akan menjadi pilihan raya paling getir dan sengit kerana BN dan pembangkang akan berusaha melonjak sokongan rakyat untuk menduduki Putrajaya.
Datuk Seri Najib Tun Razak menyebutnya sebagai ibu segala “peperangan". Oleh itu, usaha untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat merupakan ujian kritikal yang dihadapi UMNO dan rakan-rakan politiknya.
Ujian ini kelihatan lebih sukar di kawasan bandar kerana pengundi bandar merupakan kelompok yang lebih kritis dan mempunyai elemen “kepembangkangan" yang ketara. Demikian juga usaha untuk menarik kembali sokongan pengundi Cina yang telah beralih arah sejak PRU-12 juga merupakan cabaran besar bagi BN, khususnya parti MCA.
Bujukan dan hasutan kuat DAP mempermainkan emosi orang Cina supaya menolak UMNO dan MCA telah memberi kesan terhadap peratusan undi yang diperolehi oleh BN dalam PRU 2008. UMNO dituduh rasis, manakala MCA merupakan “jari-jari" bagi UMNO. Hari ini mereka menuduh suara rasis UMNO itu diperjuangkan melalui Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa).
Mereka mencipta isu-isu karut marut itu semata-mata untuk memberikan persepsi buruk terhadap kepemimpinan UMNO di negara ini. Padahal hakikat sejarah menunjukkan bahawa UMNO sejak merdeka lagi merupakan parti yang sangat tinggi toleransi politiknya.
Cabaran politik yang dihadapi UMNO hari ini memerlukan parti itu melipatgandakan usaha mengembalikan sokongan rakyat. Sejak menjadi Perdana Menteri, Najib yang juga merupakan Presiden UMNO dan Pengerusi BN telah bekerja keras dengan dibantu barisan kabinetnya untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan BN. Hingga kini pelbagai pembaharuan telah dibuat oleh kerajaan BN yang dipimpinnya.
Bermula dari memperkenalkan gagasan 1Malaysia dan diikuti dengan memperkenalkan pelbagai program transformasi seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), transformasi ekonomi (Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi), Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan transformasi politik dan undang-undang telah berjaya meningkatkan kembali kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Pelbagai bentuk inisiatif untuk membantu kehidupan rakyat seperti Klinik 1Malaysia (K1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA), Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M), Sara 1Malaysia dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga dilihat berjaya mengembalikan sokongan rakyat terhadap kerajaan.
Namun, pelbagai isu yang dibangkitkan pakatan pembangkang tetap mencabar keupayaan UMNO untuk terus melonjakkan kepercayaan rakyat. Hampir kebanyakan isu yang dibangkitkan pembangkang seperi isu lembu NFC, projek Lynas, pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia, isu pembelian kapal selam Scorpine, isu keganasan perhimpunan haram Bersih 3.0 dan pelbagi isu lain berkaitan soal-soal integriti, kebebasan dan hak asasi cuba dikaitkan dengan UMNO.
Apa pun tsunami politik 2008 telah mendorong Najib untuk melakukan transformasi parti yang diterajuinya itu. Pada Oktober 2009 UMNO mengadakan Perhimpunan Agung Khas parti itu yang berakhir dengan keazaman dan semangat baru untuk melaksanakan transformasi parti. UMNO menyedari perlunya parti itu kembali mendekati rakyat dengan penuh rendah diri supaya rakyat benar-benar kembali meyakininya.
Harapan kita, biarlah keazaman dan semangat yang dibangkitkan dalam perhimpunan itu benar-benar menjadi tenaga penggerak ke arah tindakan yang konkrit. Jangan umpama “air besar sampan tak hanyut". Jangan hanya berkobar-kobar semasa persidangan tetapi luntur semangat dalam tindakan. Memang kelihatan gerak kerja UMNO sudah berada dalam medan mendekati rakyat, memahami dan memperjuangkan nasib mereka.
Selama ini bukannya UMNO tidak dekat dengan rakyat tetapi sejak parti itu dilanda gejala politik wang dan ‘kegilaan’ sesetengah pemimpin memburu kuasa telah menjadikan parti itu seolah-olah dikuasai segelintir orang tertentu sahaja.
Perkara ini harus dinilai kembali oleh seluruh kepemimpinan dan ahli-ahli parti sempena menyambut hari kelahiran UMNO yang ke-66 nanti. UMNO harus membuktikan bahawa ia bukannya ‘parti elitis’ yang dikuasai oleh segelintir mereka yang berkepentingan.
Jika imej-imej negatif ini masih kekal pada UMNO maka usah salahkan musuh yang mengambil kesempatan untuk terus menanamkan kebencian terhadap parti yang sudah banyak berjasa kepada orang Melayu khasnya, dan masyarakat Malaysia amnya.
Kepimpinan dan ahli parti juga harus menyemak semula sejauh manakah UMNO telah benar-benar bingkas bangun dengan penuh kesedaran untuk membuat perubahan yang selari dengan cabaran politik dan tuntutan zaman.
Apakah dengan transformasi parti yang digariskan itu telah benar-benar dapat mengawal dan menjauhi perlakuan politik wang dalam pemilihan parti? Benarkah transformasi itu dapat mengembalikan semangat demokrasi yang lebih terbuka dalam memilih pemimpin dari peringkat akar umbi hinggalah ke peringkat tertinggi UMNO?
Dua persoalan itu belum lagi teruji kerana sejak pindaan perlembagaan UMNO, parti itu belum lagi mengadakan pemilihan lagi. Yang penting sekarang ialah tugas seluruh ahli UMNO yang berjumlah 3.3 juta adalah untuk merealisasikan transformasi dalam semangat gagasan 1Malaysia, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan". UMNO harus mempamerkan bahawa parti itu benar-benar dekat dengan denyut nadi rakyat.
Najib mahukan semua pemimpin UMNO menghayati dan mencerminkan kepemimpinan yang disenangi rakyat. UMNO harus dilihat sebagai parti massa, bukannya parti elitis atau bukan kepunyaan mana-mana kelompok tertentu.
Seperti yang pernah diamanatkan Najib bahawa UMNO tidak boleh dilihat sebagai sebuah parti yang hanya ghairah memperjuangkan kelompok yang sedikit tetapi UMNO mesti diyakini sepenuhnya sebagai sebuah parti inklusif yang mendahulukan rakyat dan bukannya mendahulukan diri sendiri.
Najib mahukan parti yang dipimpinnya itu menjadi parti yang berpegang kepada falsafah kesederhanaan atau parti ‘aliran tengah’. Ini bermakna UMNO tidak boleh dilihat sebagai parti yang bersifat ‘ultra kiri’ ataupun ‘ultra kanan’. Saranan Najib itu memang tepat dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan beliau serta gerakan kesederhanaan (wasatiyyah) yang dipeloporinya di peringkat global.
Apa pun, keupayaan dan keberkesanan UMNO melakukan transformasi tidak harus diletakkan di bahu kepemimpinan tertinggi parti semata-mata, tetapi ia turut bergantung kepada kepemimpinan di peringkat akar umbi, iaitu di peringkat cawangan dan bahagian UMNO di seluruh negara.
Jika pemimpin yang ada itu lemah daya intelektual dan lemah daya kerjanya maka ia tidak dapat memberi kesan transformasi seperti yang diharapkan presiden parti.
Kesimpulan, seluruh ahli parti UMNO bertanggungjawab memulihkan kembali kekuatan UMNO terutama dalam misi untuk memenangi pilihan raya umum yang akan diadakan nanti. Ia menuntut semangat juang, kesetiaan dan perpaduan yang tinggi serta penuh keikhlasan. Selaku nakhoda parti, sudah tentu Najib mahu melihat UMNO kembali diterima rakyat.
PENULIS ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara,Jabatan Penerangan.
/HWA: utusan.com.my | 9/5/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan