KUALA LUMPUR 13 Mei - Kira-kira 250,000
pengunjung membanjiri pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini
selama tiga hari sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-66 yang berakhir
hari ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata,
daripada jumlah itu, sebanyak 70 peratus pengunjung adalah golongan
muda, sekali gus menunjukkan matlamat menarik generasi itu mendalami isi
perjuangan parti berjaya.
"Kita mendekati anak muda dan terangkan pada mereka, insya-Allah kefahaman mereka tentang perjuangan UMNO semakin jelas.
"Selain itu, UMNO juga membetulkan kekeliruan dan salah tanggapan
golongan muda terhadap parti itu menerusi aktiviti menarik yang
dianjurkan," katanya ketika ditemui pemberita pada hari terakhir
sambutan itu.
Tengku Adnan yang gembira dengan sambutan memberangsangkan itu
berkata, UMNO akan meneruskan strategi untuk mendekati golongan itu
supaya mereka tidak lagi keliru dengan penipuan sesetengah pihak.
Ahli Parlimen Putrajaya itu menegaskan, jenama UMNO yang sedia gah
itu akan digilap di jiwa golongan sasar tersebut agar pemahaman terhadap
jasa parti tersebut dapat disebarkan secara menyeluruh.
"Dakwaan mengatakan mereka (golongan muda) tidak menyukai UMNO adalah
tidak benar, ini hanya persepsi puak pembangkang yang suka
mengadu-domba," katanya.
Beliau berkata, lebih 10,000 orang mengunjungi pameran UMNO untuk mendapatkan maklumat mengenai sejarah dan perjuangan UMNO.
Hari terakhir sambutan itu menyaksikan puluhan ribu pengunjung hadir
menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan termasuk demonstrasi seni
mempertahankan diri, kelas menulis skrip, kuliah agama dan pertunjukan
pancaragam.
Turut diadakan adalah pertandingan akhir street soccer dan papan selaju serta demonstrasi menembak paintball.
Antara tapak pameran yang mendapat perhatian adalah tapak sayap
parti, Puteri yang mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma serta tempat
pendaftaran pengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
/HWA: utusan.com.my | 14/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan