SEJARAH parti keramat ini pada 11 Mei diraikan semula tahun ini di
usia 66 tahun. Umur yang dikira amat matang dan dewasa. Bagi pembangkang
mereka melihat umur UMNO ini adalah saat-saat yang menanti detik
kematian.
Saya asalnya bukan pendokong UMNO, malah jauh dari itu pernah
menyokong Pas bermatian-matian hanya kerana Anwar Ibrahim sekitar 1998
hingga 2003. Ketika dalam kesesatan menyokong perjuangan 'bodoh' bersama
Pas, saya mula nampak 'kehebatan' UMNO.
Dari kebencian yang meluap-luap terhadap UMNO, saya mula mengkaji
kenapa UMNO dikatakan parti keramat. Pembangkang berjaya menanam rasa
kebencian yang amat mendalam saya terhadap UMNO dan Tun Dr. Mahathir
Mohamad ketika itu. Malah saya pernah mengangkat kaki di peti televisyen
ketika gambar beliau disiarkan.
Ketika pengumuman peletakan jawatan Dr. Mahathir yang saya benci,
saya menangis teresak-esak di hadapan televisyen. Saya bertanya kenapa
ia berlaku kepada saya ketika itu. Tentu ada sesuatu yang hebat dalam
diri pemimpin UMNO itu.
Saya menemui banyak jawapan yang menyebabkan saya tidak akan
berpaling dari menyokong UMNO sehingga ke akhir hayat saya. UMNO tidak
menjanjikan syurga untuk saya, tetapi saya yakin menyokong Pas akan
mengundang saya ke api neraka.
Namun saya masih lagi tertanya, kenapa UMNO 'lemah' sedangkan
sepatutnya parti ini wajar memiliki ahli yang sanggup berjihad
mempertahankannya. Kenapa ahli UMNO perlu menunggu arahan dalam meniup
obor perjuangan.
Saya melihat kelemahan ahli dan pemimpin tertentu untuk menyedari
peranan mereka. Pemimpin harus berupaya menyedarkan situasi cemas dan
sentiasa sanggup bersedia berjuang dan berjihad memastikan kemenangan
UMNO/ BN di kawasan masing-masing. Keadaan yang mendesak ini perlu
dijadikan semangat untuk bangkit dan bergerak cergas dalam masa-masa
kritikal menjelang PRU-13.
Saya masih teringat wawancara bersama Tun Dr. Mahathir di akhbar Mingguan Malaysia
pada 20 November 2011. Apa yang boleh disimpulkan dari komen Tun
tentang UMNO dan kepimpinannya terlalu bernas, tepat dan hampir sukar
untuk dinafikan. Tun serta banyak pihak bercakap isu ini kerana sedar
apa yang berlaku atas sebab sayang dan kasih terhadap UMNO yang menjadi
payung kepada agama Islam, kekuatan bangsa Melayu dan tunggak
kesejahteraan negara.
Soalnya, kenapa UMNO masih gagal meyakinkan golongan atas pagar dan
gagal menarik ahli parti pembangkang yang sekarang sebenarnya dalam
keadaan caca-merba dan tersangat keliru? Kenapa penyokong Pas atau PKR
tidak berduyun-duyun menyertai UMNO seperti mana tahun 1998/99 ketika
UMNO pernah ditimpa prasangka buruk, hingga ramai ahlinya yang menyertai
pembangkang?
Kenapa strategi UMNO/BN sering gagal dan tidak menjadi? Malah
kebanyakan masyarakat melihat seolah-olah hanya Perdana Menteri dan
Timbalannya yang bertungkus-lumus meyakinkan rakyat tentang jasa dan
sumbangan UMNO/BN. Ke mana hilangnya peranan Ketua Perhubungan UMNO
Negeri, Ketua Bahagian dan Ketua Penerangan sayap-sayap UMNO empat
peringkat juga Ketua Cawangan?
Susah sangatkah mereka untuk merancang gerak kerja mendekati golongan
pembangkang tegar dan atas pagar agar terbuka minda menyokong UMNO/BN.
Malah amatlah malang bagi saya apabila melihat hampir semua program UMNO
adalah untuk ahli UMNO dan penyokong tegar parti ini sahaja dan
dilaksanakan di tempat tertutup. Apa yang sering UMNO anjurkan adalah
lawatan, aktiviti sukan dan aktiviti rutin yang langsung tidak menjana
ahli baru menyokong parti ini.
Sebagai bekas penyokong pembangkang, saya melihat sebilangan besar
kepimpinan UMNO kurang berfikir di luar kotak. Mereka hanya menjaga ahli
yang setia dan manja. UMNO tidak berani melakukan apa yang menjadi
strategi pembangkang seperti ceramah terbuka berskala besar berbekalkan
speaker dan corong suara yang boleh didengar dari jauh.
Pembangkang juga telah lama giat mengedar risalah yang mendedahkan
keburukan dan fitnah terhadap kerajaan BN di kampung-kampung dengan
kerajinan jentera mereka.
Kempen pembangkang cukup mudah dan murah!. Mereka hanya berbekalkan
konsep ceramah terbuka di padang dengan kos yang minimum tetapi mampu
menarik beribu orang dan menyokong mereka. Dakyah mereka meresap masuk
dengan mudah kepada sesiapa sahaja yang hadir jika apa yang didengar itu
tidak ditapis secara hikmah.
Bukti dan hasilnya, mereka mengekalkan kuasa di Kelantan selama 21
tahun sekalipun tiada kemajuan dan kemakmuran dapat dibuktikan. Mereka
mampu pula menawan empat negeri lain dalam PRU-12 dan bertapak melalui
markas parti di hampir semua negeri yang dahulunya tidak terbayang boleh
dilakukan berbekalkan strategi yang saya nyatakan.
Mengapa usaha seperti yang dinyatakan ini tidak difokuskan dan kurang
dilaksanakan di peringkat bahagian. Kalau dilaksanakan pun, promosi dan
aktiviti ceramah ini tidak didedahkan secara agresif hingga tidak ramai
yang hadir dan terlalu protokol. Malah tugas semudah membuat salinan
artikel pun sebenarnya boleh digerakkan oleh jentera Penerangan Bahagian
mengenai isu semasa yang memihak kepada kerajaan.
Namun malang, ia juga 'tidak mampu' difikirkan oleh mereka mungkin
disebabkan kos fotostat lebih mahal dari kos menganjurkan program
besar-besaran. Malah banyak program lebih mahu menonjolkan diri untuk
menjadi 'calon pilihan' bukan untuk 'niat perjuangan'.
Berdasarkan pemerhatian, ahli UMNO amat kurang membaca dan tidak bersedia mengorbankan RM1.50 untuk menyokong akhbar Utusan Malaysia.
Kalaulah perkara ini boleh diberi perhatian oleh kepimpinan Bahagian
dan Cawangan pasti mereka mendapat banyak input dengan hanya kos RM5
seminggu untuk membuat salinan tulisan- tulisan dalam akhbar Utusan
seperti tulisan Zaini Hassan dalam CUIT yang mampu disebarluaskan di cawangan masing-masing.
Perang saraf boleh digerakkan oleh Ketua Cawangan dengan pelbagai
kaedah mudah dan murah. Jika tugas seperti ini pun tidak mampu lagi
dilaksanakan mereka maka saya bimbang UMNO akan terus layu dan mati
sebelum waktunya. Semangat jihad dan kerja keras golongan lelaki dalam
parti ini juga semakin kurang. Apakah pendokong parti keramat ini akan
bersedia menerima nasib parti-parti besar lain seperti Golkar
(Indonesia), LDP (Jepun) dan Kongres (India) yang pernah berjasa kepada
negara bangsa mereka?
Saya bimbang masa sudah terlalu lewat dan ketika itu UMNO sudah
terlalu nazak. Sebelum nasi menjadi bubur dan sebelum UMNO yang berjasa
ini ditalkinkan, mungkinkah sebilangan besar ahli dan pemimpinnya yang
masih bersikap 'bodoh sombong' mahu berubah dalam masa kecederaan?
Apakah UMNO mengharapkan keajaiban 'sepakan penalti' dalam masa
kecederaan dan bergantung kepada kekuatan 'calon boleh menang' sahaja
seperti mana Harimau Muda bergantung sepenuhnya kepada Khairul Fahmi
(Apek) untuk menyelamatkan maruah negara dan gawang golnya?
Pendokong UMNO tidak boleh bergantung kepada nasib semata-mata tanpa
giat berusaha. UMNO berada di dalam gelanggang sendiri tetapi
seolah-olah bermain di stadium milik lawan. Harimau Muda telah
dipersiapkan oleh jurulatihnya untuk menghadapi segala tekanan, tetapi
jurulatih atau pemimpin UMNO kelihatan masih gagal menguruskan mental
dan sikap kerjasama pasukan sedangkan gelombang perang PRU 13 mula sudah
kedengaran.
Tiada salahnya untuk UMNO mencontohi pembangkang dalam gerak kerja
mereka. Kita tahu dan kita sedar akan malapetaka besar jika pakatan
pembangkang menjadi pemerintah. Untuk menang selesa, lakukanlah
perubahan dan percaturan strategi yang berbeza. Usahakan amalan solat
hajat dan munajat di semua UMNO Bahagian agar Allah SWT membantu UMNO
dan kepimpinannya di saat begini.
Sedarlah bahawa anda berada di dalam sebuah parti yang ikhlas, betul
dan benar dalam asas perjuangannya. Parti yang anda dokong ini
benar-benar berjasa kepada seluruh bangsa Malaysia tanpa mengira kaum
dan agama. Jika saya yang pernah menyokong pembangkang melihat kehebatan
UMNO dan jasa-jasanya, mengapa sebilangan besar ahlinya tidak menjiwai
semangat perjuangan yang menjadi nadi UMNO.
Justeru jangan ragu-ragu berjihad dan berkorban kerana parti keramat
UMNO ini adalah 'alat dan senjata utama' mempertahankan akidah dan
kesucian agama Islam, mengangkat martabat bangsa Melayu dan maruah
negara Malaysia.
/HWA: utusan.com.my | 12/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan