Pages

12 Jun 2012

'Kami akan berikan sokongan tidak berbelah bagi'

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melihat sebahagian daripada ribuan tanda tangan oleh rakyat Johor yang menyokong taat setia kepada Sultan Johor sempena Perhimpunan Taat Setia di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI 
*****
JOHOR BAHRU 10 Jun - Kira-Kira 30,000 rakyat Johor pelbagai kaum dan agama berhimpun secara aman di pekarangan Istana Pasir Pelangi bagi menyatakan sokongan dan taat setia kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Mereka membawa pelbagai sepanduk dan mula berhimpun sejak 10 pagi di Sangkar Kristal, Taman Pelangi sebelum berarak sejauh 1 kilometer ke Istana Pasir Pelangi, yang merupakan kediaman rasmi Sultan Johor pada pukul 2 petang.
Sultan Ibrahim bersama Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah serta anakanda termasuk Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenaan berangkat ke perhimpunan berkenaan yang dianjurkan Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung).
Perhimpunan itu sebagai reaksi balas terhadap kenyataan bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menerusi laman Twitter mengenai bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor.
Ketua Penerangan Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung), Abdullah Md. Yusuf berkata, perhimpunan yang bertujuan untuk menzahirkan sokongan dan taat setia kepada Sultan Johor berjalan lancar tanpa ada sebarang kekecohan.
"Perhimpunan berkenaan lambang penyatuan rakyat demi negara, agama dan bangsa. Hampir 400 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelbagai kaum di negeri ini berhimpun dan melafaz ikrar taat setia kepada Sultan Johor.
"Rakyat Johor sayangkan Sultan Johor dan negeri ini dan kami akan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Sultan Johor," katanya kepada pemberita selepas program tersebut.
Sebanyak 312 NGO Melayu Johor dan 62 NGO kaum Cina serta 30 NGO kaum India mengambil bahagian di dalam perhimpunan tersebut.
Pada perhimpunan berkenaan, sebanyak 10 gulung kanvas dengan 15,000 tandatangan daripada rakyat di negeri ini dipersembahkan kepada Sultan Johor sebelum ikrar dilafazkan oleh wakil peserta, Ahmad Tarmizi Yusof.
/hwa: utusan.com.my | 11/6/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan