Najib Tun Razak menendang bola
ketika melawat gerai pameran sempena program 'TwtUpKami' di pekarangan
Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
*****
KUALA LUMPUR 9 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Barisan
Nasional (BN) adalah sebuah kerajaan yang menepati aspirasi serta
tuntutan orang muda dan wajar golongan berkenaan secara berterusan
memberi sokongan kepada parti itu untuk memimpin negara.
Perdana Menteri berkata, dalam usaha kerajaan menjadikan masa depan
negara lebih bersinar berbanding kejayaan dikecapi sekarang,
transformasi yang dilaksanakan bukan sahaja membabitkan soal dasar
tetapi turut memenuhi kehendak golongan muda.
"Kerajaan sentiasa melakukan perubahan bukan sahaja dari segi dasar
tetapi menepati tuntutan orang muda. Mereka mahu kerajaan menyediakan
peluang dalam pendidikan, kemahiran, keusahawanan dan kreativiti agar
apabila dewasa masa depan mereka lebih elok daripada hari ini.
"Dasar transformasi negara adalah untuk mencapai masa depan yang
lebih bersinar, justeru itu golongan muda harus melihat BN adalah
kerajaan untuk mereka," katanya semasa berucap sempena program
'TwtUpKami' di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini hari
ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin
Abdullah; Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan serta beberapa
artis tersohor tanah air yang juga merupakan ahli komuniti Twitter.
Dalam pada itu Najib berkata, sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa
komited dengan kehendak generasi muda, seluruh pentadbiran BN kini
begitu aktif dengan penggunaan media sosial kerana jika tidak
disesuaikan dengan peredaran zaman, parti berkenaan akan beku.
Ditanya mengenai pasukan bola sepak yang bakal memenangi kejohanan
Euro 2012 pula, Najib memilih Sepanyol untuk sekali lagi muncul juara
selepas berbuat demikian pada edisi 2008 walaupun beliau sendiri
merupakan penyokong England.
Sementara itu, menyentuh mengenai perancangan membangun bola sepak
Malaysia, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersedia memberi tajaan
kepada mana-mana pemain tempatan yang berbakat bagi menimba ilmu di liga
Eropah.
/hwa: utusan.com.my | 10/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan