KOTA BHARU 5 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
menafikan berlaku perselisihan faham atau perasaan dendam antara beliau
dengan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu
muzakarah dengan UMNO.
Malah, beliau menyifatkan dakwaan tersebut sengaja ditimbulkan oleh UMNO untuk melaga-lagakan kepimpinan tertinggi Pas.
“Itu cerita UMNO, kerja dia melaga-lagakan orang, saya tak ada masalah dengan Abdul Hadi.
“Saya menyokong cadangan Presiden untuk muzakarah, apabila dia tarik
balik maka saya tarik balik," katanya kepada pemberita selepas majlis
perasmian Ekspo Pertanian Negeri Kelantan Tahun 2012 di pekarangan
Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Turut hadir Timbalan Menteri Buruh Thailand, Vitsan Khantarp dan
Paijitira Argsornnarong serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri
Desa dan Bioteknologi negeri, Che Abdullah Mat Nawi.
Nik Abdul Aziz diminta mengulas kenyataan Presiden Gerakan Reformasi
Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar bahawa pertelagahan
pendapat antara Abdul Hadi Awang dengan Nik Abdul Aziz menunjukkan
mereka berdendam antara satu sama lain.
Ramlan dilaporkan berkata, perkara itu sebenarnya telah berlaku sejak
Nik Abdul Aziz membantah cadangan Abdul Hadi untuk menubuhkan ‘kerajaan
perpaduan’ bersama UMNO.
/hwa: utusan.com.my | 6/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan