Pages

12 Jun 2012

Pihak terlibat perlu beri penjelasan

KUALA LUMPUR 10 Jun - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa memanggil Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberi penjelasan berhubung tuduhan terhadap 20 akaun induk yang dimilikinya.
Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, langkah itu perlu bagi memastikan Anwar tidak mengelak daripada menjawab isu tersebut.
Beliau yakin sekiranya perkara itu benar, Ahli Parlimen Permatang Pauh berkenaan bukanlah satu-satunya individu terlibat dalam kes tersebut.
"Tidak mungkin Anwar seorang mampu mengawal 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang bernilai lebih RM3 bilion.
"Saya yakin mungkin ada nama-nama lain di sebalik penyelewengan itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan SPRM yang mengesahkan sedang menyemak status siasatan berhubung akuan berkanun bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid mengenai pemilikan 20 akaun induk oleh Anwar.
Menurutnya, siasatan itu juga bagi memastikan Anwar tidak menggunakan kedudukannya semasa menjadi Menteri Kewangan untuk kepentingan peribadi, keluarga dan kroninya.
Sementara itu, Presiden Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, siasatan sedang dijalankan pihak berkuasa ke atas Anwar membuktikan kepada rakyat prinsip 'ketelusan' dilaungkan pembangkang selama ini.
"Justeru, saya harap Anwar dapat diheret ke mahkamah segera bagi membuktikan kebenaran tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 11/6/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan